Seorang lagi adik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah, hari ini.

Difahamkan, ahli politik itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Sabah, di sini, kira-kira jam 8 malam tadi selepas datang memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.

Menurut sumber, ahli politik itu dipanggil pagi tadi bagi membantu siasatan SPRM berhubung penyelewengan RM1.5 bilion dana awam untuk pembangunan luar bandar menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah, di antara tahun 2009 hingga 2015.

Beliau dijangka dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman, esok.

Penahanan itu menjadikan seramai sembilan individu ditahan SPRM berhubung kes itu setakat ini, dengan masing-masing lapan di Sabah dan seorang lagi di Putrajaya.

Seorang daripada mereka yang ditahan pada Rabu lalu adalah adik Shafie, iaitu Hamid Apdal dan beliau masih menjalani sambungan reman sehingga Jumaat ini.

Selain itu, menantu Hamid, yang juga seorang ahli perniagaan berusia 33 tahun turut direman lima hari sejak Ahad lalu.

Sebelum ini, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, 46; Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman, 43; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, 43; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim, 44 dan seorang lagi ahli perniagaan, berusia 52 tahun ditahan SPRM.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *