Bakat seniman jalanan di sekitar Kuala Lumpur bakal digilap secara profesional melalui pendedahan persembahan dan latihan, kata Pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata pihak yayasan akan mengadakan kerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan mutu persembahan golongan berkenaan.

“Dengan pendedahan seperti ini, ia dapat memberi seniman jalanan platform untuk membolehkan mereka berjaya, mungkin sehingga menjadi seorang artis rakaman,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Budi Bersama Seniman Jalanan di sini, hari ini. Turut hadir Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez.

Beliau berkata latihan berkenaan akan dapat membantu para seniman jalanan mempelbagaikan persembahan dan jenis lagu termasuk dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Rais berkata mereka yang terpilih juga akan diberi peluang membuat persembahan dalam Konsert Budi yang bakal diadakan menjelang sambutan kemerdekaan negara Ogos ini hasil kerjasama Yayasan Budi, Yayasan Warisan Negara dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Freddie berkata pihaknya bersetuju menjalin kerjasama dalam usaha untuk mengangkat martabat golongan seniman jalanan.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini telah mengadakan program latihan untuk membimbing seniman jalanan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sejak dua tahun lepas, kita telah mula mengadakan latihan selama tiga hari berturut-turut dalam setahun untuk membimbing seniman jalanan ini membuat persembahan yang berkualiti serta dikenali oleh orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Rais yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga pelawak terkenal era 80-an, Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Hospital Selayang di sini, kira-kira pukul 3 petang tadi.

“Bagi saya pemergian Mr Os adalah satu kehilangan peribadi kerana kami bersahabat lama sejak tahun 1985, semasa saya jadi Menteri Penerangan.

“Saya tidak boleh melupakan seni penyampaiannya yang mengandungi mesej dan komedi yang bersahaja menerusi lagu dan juga ungkapan-ungkapan bahasa tempatan. Kita doakan yang terbaik dan semoga seni beliau diingati dan dihormati,” katanya.

Mr Os memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Antara drama dan filem yang pernah dibintangi Allahyarham termasuk Adik, O.K (Orang Kampung Otak Kimia), Cikgu Romantik dan Senario The Movie Ops Pocot.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *