Semua calon Barisan Nasional (BN) wajib mengisytiharkan harta masing-masing sebelum diberi ‘lampu hijau’ untuk bertanding pada PRU14 akan datang, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain itu, beliau berkata mana-mana ahli parti atau wakil rakyat yang berpalit dengan skandal dan kes rasuah tidak sama sekali akan dibenarkan bertanding atas tiket BN.

“Saya sendiri juga turut berbuat demikian (mengiisytiharkan harta) sebelum saya menjadi wakil rakyat pada tahun 2004.

“Kami akan menyiasat jika ada calon yang dikaitkan dengan rasuah dan sekiranya bebas daripada dakwaan rasuah, kami akan membenarkan calon berkenaan bertanding,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival KL Xtravaganza dan pusingan kedua Kejohanan SuperMoto Malaysia *(MSMC) di Taman Tasik Permaisuri, Cheras, di sini hari ini.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ,berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad kepada parti-parti politik untuk tidak meletakkan calon yang ada kes rasuah pada PRU14.

Khamis lepas,  Dzulkifli menegaskan adalah penting untuk parti-parti politik bukan sahaja memilih calon yang benar-benar bebas dari sebarang sabitan atau kes rasuah tetapi pada masa yang sama menghantar isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak berkompromi dengan rasuah.

Terdahulu, Tengku Adnan, dalam ucapan perasmiannya, berkata program dua hari KL Xtravaganza dan MSMC ternyata memberi ruang riadah kepada warga kota pada hujung minggu.

“Lebih 100 artis dan selebriti di bawah Persatuan Karyawan terlibat dalam konsert KL Xtravaganza pada malam ini dan penglibatan 50 pelumba dalam MSMC ini,” katanya.

Katanya,  kejohanan tempatan seperti MSMC ini turut akan mencungkil bakat penunggang muda berkualiti dalam kemahiran menunggang, etika dan keselamatan di atas trek dan jalan raya.

“Ia sekali gus menggalakkan golongan muda mengadakan sukan permotoran di platform yang disediakan dan mengelak risiko keselamatan dengan berlumba haram di jalanan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *