KUALA LUMPUR, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi menghindari diri daripada rasuah dan salah guna kuasa ketika melaksanakan tugas.

Timbalan perdana menteri yang juga menteri dalam negeri berkata pelaksanaan ikrar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu memperlihatkan komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab serta amanah kepada rakyat.

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan IBR juga membantu membuang persepsi buruk pelbagai pihak terutama dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.

“Apatah lagi, KDN merupakan kementerian yang terlalu sensitif apabila perkhidmatan kita secara langsung kepada rakyat. Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di barisan hadapan menentukan soal keselamatan, tentunya terdedah kepada amalan memberi atau menerima rasuah.

“Bagi mempercepatkan proses, mengelakkan hukuman atau denda tinggi, atau mahu sesuatu diluluskan, maka rasuah dilakukan di sektor awam atau swasta. Kalau mahu negara jadi benar-benar maju maka amalan tolak dan banteras rasuah mesti dijadikan budaya dalam kalangan penjawat awam,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini Selasa.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *