Semangat perpaduan dalam kalangan pemimpin dan anggota UMNO perlu melekat dalam jiwa dan bukan hanya di mulut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perpaduan yang menjadi penguat dalam usaha untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang juga perlu diperkukuhkan mulai sekarang dengan menyingkir persepsi negatif pihak lain.

“Perbuatan kita harus disertakan dengan niat … bagaimana di atas pentas, begitu jugalah di belakang pentas, begitulah di depan khalayak, begitulah di belakang khalayak, begitulah kiri, begitulah kanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Padu Rakyat Dungun, di sini hari ini.

Dalam majlis yang dihadiri lebih 5,000 orang itu, beliau turut memuji kepimpinan diterajui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai perkara utama.

“Jika kita mempunyai daya tahan dan perpaduan yang kuat, biarlah diserang dengan bom nuklear, senjata tercanggih sekalipun, ia akan dapat dihalang … pendapat dan persepsi yang berbeza tetapi insyaAllah atas perpaduan yang diwujudkan dan kesepaduan yang kita kekalkan, persetankan persepsi daripada luar. Kita bina semula perpaduan.

“Kita berasa terpukul … masalah lalu adalah perpaduan dan kita tidak ambil peduli kerana yakin dan merasakan perpaduan itu boleh dibeli dengan wang ringgit, boleh dibeli dengan pembangunan tanpa kita menguasai minda dan menguasai sanubari,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pemimpin parti perlu mengubah cara pemikiran mereka dan sudah sampai masanya menggunakan teknik menguasai jiwa dan minda rakyat untuk tahu dan berterima kasih atas apa yang telah kerajaan lakukan.

Beliau turut mengingatkan supaya tiada lagi budaya ‘cah keting’ dalam kalangan mereka yang mementingkan kuasa.

Dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid berkata beliau berharap trend dan acuan yang dibina Ahmad Razif dalam mengukuhkan perpaduan parti dapat dicontohi dan yakin politik di Terengganu akan lebih kukuh serta mampu menyelesaikan beberapa permasalahan terdahulu.

Katanya kesepaduan itu bukan hanya penting di Terengganu tetapi juga di semua 222 kawasan Parlimen khususnya bagi memastikan impak positifnya dapat dirasai rakyat dan mampu mengetepikan persepsi negatif yang sengaja diwujudkan oleh pihak pembangkang.

“Mereka (pihak tertentu termasuk pembangkang) memberi pendapat antagonistik dalam media sosial ataupun beberapa gerakan perang saraf yang mahu menerjah kekukuhan sedia ada. Pada hemat saya kejayaan itu sukar untuk dicapai tetapi apabila kejayaan itu telah terbina, maka lebih sukar lagi untuk mempertahankan kejayaan itu,” katanya.

Selain itu Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin parti supaya terus membantu masyarakat dan mengelak daripada dilabel hanya membantu keluarga dan sahabat terdekat sahaja.

“Benda tu (pemimpin yang membantu keluarga) berlaku tetapi tidak keseluruhan Mungkin berlaku di dua tiga tempat dan ini menjadi viral seolah-olah seluruh wakil rakyat bersikap begitu.

“Ada juga pemimpin yang hanya turun padang apabila ada majlis kenduri kendara dan kematian atau pada solat Jumaat, ada yang seperti ‘kelawar yang ada pada musim buah sahaja’ dan ada yang turun padang lima tahun sekali … tetapi ada juga wakil rakyat yang bukan hanya pulang seminggu sekali tetapi duduk di kawasan bagi memberi perkhidmatan setiap hari,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap semua pemimpin parti mampu bergerak seiring untuk menepis persepsi negatif dan kebencian agar ia tidak menguasai minda dan jiwa rakyat terutama golongan muda.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *