Anda di sini!
Utama > Hiburan > “Terima Kasih Malaysia, Saya Sangat Terharu”

“Terima Kasih Malaysia, Saya Sangat Terharu”

KUALA LUMPUR, Jalan Masjid India, sesak dengan kehadiran kira-kira 2,000 peminat yang menunggu kemunculan bintang sensasi Bollywood, Kajol, sejak jam 4 petang semalam.

Rata-rata peminat yang datang sanggup berpanas dan berdiri hingga ke malam semata-mata mahu mendapatkan tempat berhampiran pentas bagi menyaksikan sendiri kejelitaan aktres berusia 42 tahun itu.

Menyedari ada di kalangan peminat yang sudah menantinya lebih empat jam, Kajol yang tiba di lokasi terbabit tepat jam 8.35 malam terus melambaikan tangan kepada orang ramai sebagai tanda terima kasih.

“Selamat petang, terima kasih di atas sokongan anda semua. Saya sangat terharu kerana sangat disayangi peminat Malaysia,” katanya.

Isteri kepada aktor popular, Ajay Devgan, itu diterbangkan khas ke ibu kota bersempena promosi filem Tamil terbaru lakonannya, Velaiilla Pattadhari 2 (VIP2), edaran Malik Streams Corporation Sdn Bhd.

Selain aktres terbabit, syarikat yang pernah membawa masuk pelbagai filem pecah panggung dari India itu turut menerbangkan aktor gandingannya, Dhanush, serta pengarah VIP2, Soundarya, yang juga anak Rajinikanth.

Rasa teruja melihat selebriti pujaan berada di depan mata membuatkan penonton tidak henti-henti menjerit melaungkan nama Kajol sepanjang ketibaannya.

Barangkali keterujaan juga menyebabkan seorang peminat tegar lelaki berjaya meloloskan diri mendekati aktres itu walaupun dikawal ketat empat pengawal, namun situasi dapat dikawal.

Terdahulu, filem drama komedi yang akan ditayangkan pada Ogos depan dalam tiga bahasa, Tamil, Hindi dan Telegu, ialah judul susulan kepada Velaiilla Pattadhari terbitan 2014.

Kali pertama pelakon yang memulakan karier di arena seni pada usia 18 tahun itu datang ke Malaysia adalah dua tahun lalu sempena pelancaran saluran baharu sebuah stesen televisyen.

Sepanjang kerjaya, Kajol kerap digandingkan bersama bintang mega India, Shah Rukh Khan, seperti dalam Dilwale Dulhania Le Jayenge, Duplicate, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Khushi Kabhie Gham, My Name Is Khan dan Dilwale.

Difahamkan, beliau yang tiba di sini pagi tadi dijadualkan terus pulang ke Mumbai, India, hari ini.

Leave a Reply

Top