Anda di sini!
Utama > Hiburan > Saya Hanya Mahu Jadi Ahli Bomba – Anak Saleem

Saya Hanya Mahu Jadi Ahli Bomba – Anak Saleem

Satu klip video nyanyian Nursyafiq, yang merupakan anak kepada penyanyi rock Malaysia, Saleem, menjadi tular di media sosial dan menjadi bualan ramai, terutama di kalangan wanita.

Pemuda berusia 23 tahun ini berkata beliau terkejut apabila video tersebut telah menjadikan dirinya ‘selebriti segera’ dan beliau mendapat ramai peminat di media sosial.

“Saya menerima mesej daripada ramai wanita mengajak saya keluar, mereka mahu mengenali saya dengan lebih rapat.

“Saya belum bersetuju atau memberikan sebarang jawapan kerana saya tidak kenal mereka,” katanya, Isnin.

Nursyafiq yang juga ketua operasi di Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau berkata beliau merakamkan nyanyian di mejanya sebagai cara untuk mengurangkan gemuruh.

Beliau mendakwa tidak pernah menyanyi di khalayak ramai sebelum ini, sehinggalah baru-baru ini beliau menyanyi di rumah atau ketika bersama rakan tempat kerja.

“Ayah saya kata membuat rakaman sendiri akan membantu saya mengurangkan gemuruh apabila menyanyi di khalayak ramai,” kata Nursyafiq.

Nursyafiq berkata kali pertama beliau menyanyi di pentas adalah pada majlis makan malam gala jabatan, kira-kira tiga tahun lalu.

“Pegawai-pegawai kanan meminta mereka yang ada latar belakang muzik untuk buat persembahan.

“Jadi rakan-rakan minta saya menyanyi kerana mereka tahu saya boleh menyanyi dan mereka kenal ayah saya,” kata Nursyafiq, yang telah menubuhkan kumpulan Fire Fingers JDT bersama anggota lain.

Saleem adalah penyanyi utama kumpulan rock Iklim yang popular pada era 1990-an.

Beliau terkenal dengan suara serak basah. Antara lagu yang popular adalah Suci Dalam Debu, Bukan Ku Tak Sudi dan Gerhana Cinta Luka.

Walaupun mendapat perhatian ramai, Nursyafiq tidak akan meninggalkan kerjaya sebagai seorang ahli bomba.

“Sejak kecil saya mahu menjadi seorang ahli bomba untuk menyelamatkan nyawa rakyat. Nyanyian hanyalah satu hobi,” katanya.

Leave a Reply

Top