Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Sasar 90% Pencarum Daftar i-Akaun

Sasar 90% Pencarum Daftar i-Akaun

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkukuhkan usaha transformasi digitalnya dan menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus pencarum berdaftar dengan i-Akaun menjelang 2021.

Ketua Jabatan Rangkaian Perkhidmatan, Mohd Rodzi Abu Bakar, berkata setakat September 2017 sebanyak 34 peratus (4.5 juta) daripada 13 juta pencarum berdaftar dengan kemudahan dalam talian i-Akaun.

“Pada tahun ini, KWSP menyemak naik sasaran untuk mempunyai lima juta pendaftaran pencarum i-Akaun pada akhir 2017, memandangkan kami sudah mencapai sasaran awal 4.5 juta pada September,” katanya.

i-Akaun yang diperkenalkan pada 2004 membolehkan pencarum KWSP menyemak maklumat caruman dan transaksi akaun serta mendapatkan penyata secara dalam talian pada bila-bila masa dan mana saja.

Beliau berkata, selain lebih memudahkan pelanggan, i-Akaun juga adalah inisiatif hijau yang boleh mengurangkan penggunaan kertas dan sekali gus menurunkan kos operasi dan tenaga kerja.

“Lebih penting, platform dalam talian itu juga bertujuan memenuhi keperluan celik teknologi generasi Y yang cenderung melaksanakan perkara secara dalam talian,” katanya.

Mohd Rodzi berkata, setakat ini, generasi Y merangkumi lebih 50 peratus daripada pencarum KWSP dan jumlah itu dijangka melebihi 75 peratus menjelang 2025.

“Justeru itu, selain sasaran sekurang-kurang 90 peratus pencarum berdaftar dengan i-Akaun​​​​​ ​​menjelang 2021, kami turut berharap 80 peratus pencarum kami akan menggunakan kemudahan tersebut ketika itu,” katanya.

Data terkini KWSP menunjukkan daftar masuk i-Akaun mencatatkan penggunaan purata 1.14 juta setiap bulan dari Januari hingga September 2017, meningkat daripada 791,728 setiap bulan tahun lalu.

Mengenai usaha penambahbaikan i-Akaun, Mohd Rodzi berkata KWSP merancang untuk membenarkan pencarum melakukan pengeluaran melalui kemudahan e-Pengeluaran dalam i-Akaun tanpa perlu pergi ke mana-mana kaunter KWSP.

Ketika ini, beliau berkata, kemudahan e-Pengeluaran hanya membenarkan​​​​​​​ pencarum menyerahkan ​​​​​​​permohonan pengeluaran untuk tujuan perumahan atau pendidikan secara dalam talian dan masih perlu pergi ke kaunter KWSP untuk pengesahan cap jari.

Kemudahan e-Pengeluaran diperkenalkan pada 2013 sebagai sebahagian usaha KWSP​​​​​​​ mengurangkan​​ transaksi di kaunter.

Selain penyerahan permohonan pengeluaran untuk perumahan atau pendidikan, kemudahan e-Pengeluaran juga membolehkan pencarum menyemak penamaan mereka.

Bagi pendaftaran i-Akaun, pencarum perlu mendapatkan kod pengaktifan di mana-mana kaunter KWSP, melalui kios KWSP atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.

Mohd Rodzi berkata, KWSP turut menggerakkan pasukannya untuk membantu pencarum di semua cawangan KWSP dalam usaha menggalakkan lebih ramai pencarum berdaftar dengan i-Akaun.

Sebagai tambahan kemudahan serta untuk kekal relevan, beliau berkata, KWSP juga menyediakan ​​​​​​​aplikasi mudah alih ‘EPF i-Akaun’ yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store atau Apple App Store.

Sejak ia diperkenalkan pada 2014, kira-kira 1.8 juta pencarum memuat turun aplikasi itu.

“Aplikasi itu adalah versi ringkas bagi laman web i-Akaun, dan kami berharap dapat mencapai 42 peratus, atau kira-kira dua juta pengguna menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Mohd Rodzi berkata, untuk menjadikan aplikasi mudah alih ‘EPF i-Akaun’ lebih menarik dan interaktif, KWSP akan melaksanakan lebih banyak penambahbaikan, termasuk antara muka baharu untuk penyata, pemberitahuan serta ‘inbox’ yang lebih selamat.

“Penambahbaikan itu dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Leave a Reply

Top