Pemeriksaan mental perlu disertakan dalam ujian saringan kesihatan membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tahunan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia bagi memastikan anggota PDRM berada pada tahap fizikal dan mental terbaik, sekali gus dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

“Pelbagai program kesihatan dilaksanakan pelbagai pihak, tetapi kesihatan mental sering terabai dan kurang mendapat perhatian sama dengan kesihatan fizikal lain.

“Cadangan (mengambil kira elemen kesihatan mental) ini penting bagi memastikan masyarakat lebih selesa dan tenang apabila mengetahui anggota polis yang ditugaskan dapat memberikan perlindungan dan melaksanakan tugasan yang mencabar tanpa halangan fizikal atau mental,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata saringan kesihatan itu digalakkan setahun sekali dan arahannya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu bukan hanya digalakkan tetapi diwajibkan setahun sekali, serta digalak melakukannya enam bulan sekali.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, sekiranya kesihatan mental juga dinilai dalam program saringan, anggota PDRM yang mengalami tekanan dapat dikenal pasti seterusnya boleh dicadangkan untuk mengikuti program intervensi yang sesuai seperti kaunseling.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *