Anda di sini!
Utama > Terkini > Sarawak Sandaran Kedaulatan Makanan Negara -Shabery Cheek

Sarawak Sandaran Kedaulatan Makanan Negara -Shabery Cheek

mh online

Sarawak, yang memiliki keluasan tanah, berpotensi menjadi sandaran kepada pembangunan produk pertanian dan seterusnya menjamin kedaulatan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sekiranya Malaysia terlalu bergantung kepada bekalan makanan import, negara akan bergantung kepada belas ihsan negara luar yang boleh mendatangkan kesan terutamanya daripada segi geopolitik.

“Banyak kawasan-kawasan pertanian ditukar menjadi kilang, ada kawasan tanaman padi ditukar dengan penanaman kelapa sawit malahan ada kawasan pertanian menjadi bangunan.

“Sebaliknya di Sarawak masih banyak tanah yang boleh diteroka menjadi kawasan pertanian seterusnya menjamin kedaulatan makanan negara,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015, di sini Jumaat malam.

Antara yang hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Permodenan Pertanian Negeri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Sebanyak 522 peserta dari seluruh negara terdiri daripada penternak, peladang dan nelayan terlibat dalam konvensyen tiga hari yang bermula semalam.

Konvensyen tersebut adalah sebahagian daripada program sambutan Hari Peladang Penternak Nelayan Kebangsaan 2015 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan Dewan Suarah Kota Samarahan esok.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut melancarkan buku ‘Fish Supply-Demand LKIM’, buku kajian antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan pihak INFOFISH bagi mengkaji penawaran dan permintaan serta jangkaan masa hadapan industri perikanan negara.

Sementara itu, Jabu dalam ucapannya berharap konvensyen tiga hari itu akan turut memberi manfaat kepada Sarawak dari segi perkongsian kepakaran serta pengalaman bidang pertanian yang dimiliki di Semenanjung.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top