Sambutan Hari Belia Negara akan kembali diadakan di Putrajaya tahun depan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini bagi membolehkan lebih banyak aktiviti diadakan selain Putrajaya telah menjadi lokasi ikonik kepada penganjuran acara berkaitan belia.

“Saya nak lihat siapa bersetuju kita buat semula di Putrajaya,” katanya diikuti hadirin yang memenuhi dewan itu berdiri sebagai tanda setuju karnival itu diadakan kembali di Putrajaya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2016 di Dewan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, timbalannya Datuk M. Saravanan dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Muam’mar Ghadafi Jamal.

Setelah diadakan di Putrajaya sejak 2010, UPM dipilih sebagai lokasi penganjuran Hari Belia Negara tahun ini bagi menggalakkan penglibatan belia dan mahasiswa di peringkat akar umbi.

Ahmad Zahid berkata atas sebab itu, UPM perlu diberikan penghargaan kerana sudi menyediakan tempat dan kemudahan untuk penganjuran kali ini walaupun saiznya agak sederhana berbanding sambutan tahun sebelumnya.

Biarpun tempat ini terhad tetapi sambutan dan semangat yang ditunjukkan belia adalah sangat mengagumkan, katanya.

Bertemakan ‘The Future Is Now’, sambutan yang diadakan mulai 9 Mei itu menampilkan 140 program, di mana antara kelainannya ialah pengenalan Program Jelajah Kampus yang bertema ‘Persembahan Bakat’ dengan belia dan mahasiswa diberi ruang berkongsi, melaksana dan mempersembahkan kehendak serta minat mengikut cita rasa mereka sendiri.

Pada majlis itu, Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia Mohd Syahbuddin Hashim dan Ketua Wanita Majlis Kelab Belia Tamil Malaysia B. Vanita diumum sebagai pemenang Anugerah Perdana Belia Negara kategori lelaki dan wanita, dengan masing-masing membawa pulang hadiah RM20,000, piala serta sijil.

Gerakan Belia 4B (M) Malaysia kawasan Baling, Kedah pula yang mempunyai projek ekonomi seperti penanaman cendawan, sewaan tapak belia, bazar dan inap desa dan taman pelancongan dinobatkan pemenang Anugerah Perdana Belia Negara kategori pertubuhan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *