Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > RUU 355 Jadi Polemik Sebab Dibawa Pembangkang

RUU 355 Jadi Polemik Sebab Dibawa Pembangkang

Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 355 dilihat sering menjadi polemik dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ada sebab tertentu.

Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, ada beberapa faktor yang membawa isu ini menjadi polemik iaitu kerana usul ini dibawa Ahli Dewan Rakyat yang bukan daripada kerajaan.

“Selain itu, ia berikutan kaitan dengan hudud di Kelantan.

“Hal ini terlalu banyak perisa politik yang disembur kepada RUU ini, maka ia telah menimbulkan pelbagai persoalan yang membentuk polemik,” katanya dalam Taklimat Khas Media Penerangan Usul Pindaan Akta 355, di Ikim, hari ini.

Tambahnya, paling utama ialah kerana pihak yang memperkenalkan usul itu tidak memberikan penerangan yang jelas tentang apa yang dimahukan walaupun soal polemik tentang RUU ini bukanlah suatu yang baharu.

Beliau berkata, sebelum ini jelas juga polemik berkaitan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara, cadangan pindaan kepada Akta Pentadbiran Agama Islam dan juga Akta Keluarga Islam.

Katanya, polemik tentang Rang Undang-Undang banyak kali berlaku dan ini menunjukkan kesedaran masyarakat berkaitan apa yang berlaku dalam negara.

“Bagaimanapun, polemik ini sebenarnya mematangkan masyarakat, demokrasi, ahli parlimen dan badan perundangan serta agensi berkaitan perundangan,” katanya.

Leave a Reply

Top