Pakar dari Rusia, Turki, Iran dan PBB telah memulakan mesyuarat teknikal di ibu negara Kazakhstan untuk membincangkan secara terperinci tentang pelaksanaan perjanjian gencatan senjata Syria.

“Wakil dari Jordan dijangka turut menyertai rundingan itu untuk pertama kali,” kata jurucakap Kementerian Luar di Astana, semalam.

Menurutnya, agenda mereka termasuk mengkaji semula pelaksanaan gencatan senjata, membincangkan cadangan pembangkang mengenai langkah itu dan menentukan pilihan tentang bagaimana untuk melaksanakannya.

“Ia adalah untuk mewujudkan satu mekanisme bagi mengawal pelaksanaan gencatan senjata itu,” jelasnya lagi.

Bulan lalu, Astana turut menjadi tuan rumah sidang kemuncak damai antara Damsyik dan kumpulan pemberontak yang mana ia turut disertai Teheran, Moscow serta Ankara sebagai pengantara.

Kelmarin, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyifatkan mesyuarat Astana sebagai ‘langkah kejayaan’, namun beliau memaklumkan mereka tidak merancang untuk menggunakan format sama ketika rundingan di Geneva yang dijadualkan pada akhir bulan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, China mengumumkan ia bersedia untuk menyalurkan kira-kira AS$16 juta (RM71 juta) bantuan kemanusiaan di bawah perjanjian kerjasama dengan kerajaan Syria.

Dua perjanjian itu dimeterai Kedutaan China dan Suruhanjaya Kerjasama dan Perancangan Antarabangsa Syria (ICC).

“Kami bersimpati dengan nasib rakyat Syria. Perjanjian ini ditandatangani untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan memenuhi kewajipan serta tanggungjawab antarabangsa. Bantuan itu akan dihantar tidak lama lagi,” kata Duta China ke Syria, Qi Qianjin.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *