Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Rusia Kukuh Sebagai Peneraju Sektor Angkasa Dunia

Rusia Kukuh Sebagai Peneraju Sektor Angkasa Dunia

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa berkata Rusia berada di kedudukan kukuh sebagai peneraju sektor angkasa di dunia, termasuk pasaran bagi pelancaran roket atau kapal ke angkasa lepas, lapor agensi berita China, Xinhua.

Industri roket dan angkasa Rusia memiliki kakitangan yang unggul selain keupayaan saintifik serta pengeluaran, kata Putin dalam satu konsert khas sempena sambutan Hari Kosmonautik pada 12 April.

“Banyak yang sudah kita lakukan untuk mewujudkan pusat pelancaran angkasa lepas nasional baharu iaitu ‘Vostochny,” Putin dipetik sebagai berkata oleh laman sesawang rasmi Presiden Rusia.

Beliau berkata adalah penting untuk sentiasa melangkah ke hadapan dan membangunkan bidang baharu dalam industri angkasa lepas dunia secara aktif selain menawarkan idea serta penemuan baharu.

Putin juga menyeru agar industri angkasa lepas Rusia dimanfaat sebaik mungkin.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada petugas sektor roket dan angkasa lepas sempena Hari Kosmonautik, yang disambut bagi memperingati pelancaran kapal angkasa pertama dipandu manusia iaitu juruterbang merangkap angkasawan Soviet, Yuri Gagarin, pada 1961.

Leave a Reply

Top