Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ruginya Tak Manfaatkan Ramadhan – Mufti Kelantan

Ruginya Tak Manfaatkan Ramadhan – Mufti Kelantan

Umat Islam di negara ini digesa melakukan perubahan dengan meningkatkan ketakwaan dalam diri masing-masing sempena Ramadan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, bulan Ramadan didatangkan dengan membawa jutaan kerahmatan yang tiada tolak bandingnya, dan rugi bagi yang tidak mengejarnya.

Menurutnya, Rasullullah SAW pernah menegaskan, seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan.

Sempena kedatangan Ramadan Sabtu ini, Mohamad Shukri menggariskan beberapa pesanan kepada seluruh umat Islam agar mereka tidak tergolong dalam kalangan insan yang rugi.

Pertama katanya, orang Islam mesti memasuki pertandingan yang mana landasan persaingan untuk mendapatkan sebanyak mana kebaikan daripada bulan ALLAH SWT ini.

“Berlumba-lumba lah kita selagi ALLAH SWT memberi kesempatan untuk melakukan kebaikan. Rebut peluang mencari reda ALLAH SWT dengan meninggalkan larangannya dan menambahkan kebaikan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan umum, puasa itu sendiri adalah latihan untuk umatnya meningkatkan keupayaan mengendalikan diri sendiri

“Latihan mengendalikan diri untuk membangunkan kekuatan kesabaran, supaya kita terbiasa dengan kesabaran. Bila puasa nak makan boleh sabar, nak minum boleh sabar,  nak marah boleh tahan emosi. Ini latihan kepada kita,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahukan umat Islam hidup dalam budaya tolong-menolong tanpa mengira darjat ketika mana seluruh dunia sedang menjalani ibadah puasa.

“Bantulah dalam perkara yang membawa kebaikan. Ini termasuk dalam soal kewangan. Tingkatkan amalan menderma di dalam Ramadan ini yang terlalu besar pahalanya biarpun dengan menghulurkan sebanyak mana termampu,” katanya.

Menurutnya, Ramadan memang penuh dengan dugaan, dan seharusnya umat Islam mengawal diri untuk tidak melakukan perkara diharamkan ALLAH SWT.

“Jangan sesekali melakukan maksiat. Jangan ingat bila puasa ALLAH SWT hanya berada di masjid. ALLAH SWT berada di mana-mana yang boleh menyaksikan segala apa umatnya lakukan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengawal nafsu berbelanja ketika membeli juadah berbuka, jangan sampai melakukan pembaziran dan hilangnya kerahmatan Ramadan.

“Tidak salah mengambil untung dalam berniaga. Tetapi harus diingat jangan pula kaut untung, menipu sehingga melakukan penindasan kepada orang lain dan menganiaya pihak lain,” katanya.

Beliau juga menegur sikap umat Islam itu sendiri, apabila tiba sahaja Ramadan, akan datangnya penyakit gastrik sebagai alasan tidak berpuasa.

“Jangan pula kita yang beragama Islam ini pula masuk pintu belakang di kedai-kedai bukan Islam untuk membeli makanan. Kalau kita mahu mereka hormati agama kita, kita janganlah melakukan perkara sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, ketika Ramadan ini orang bukan Islam juga dapat menghormati amalan penganut agama yang berbeza, baik dari segi pakaian dan juga makan.

“Kita minta mereka hormati orang yang berpuasa, kalau makan pun sembunyi-sembunyilah jangan sampai sengaja makan di hadapan orang yang sedang berpuasa,” katanya.

Leave a Reply

Top