Juara dunia F1 Nico Rosberg berharap perlumbaan F1 akan terus diadakan di Malaysia untuk beberapa tahun akan datang terutama selepas pasukan Mercedes AMG Petronas memenangi kejuaraan pengeluar dunia, musim ini.

Beliau berkata pasukan berkenaan mendapat sokongan padu daripada penyokong Malaysia dan ia dapat membantu mereka meraih gelaran pada musim akan datang.

“Daripada apa yang saya perhatikan, rakyat negara ini gemar terhadap sukan ini (F1), jadi ramai yang datang menyaksikan perlumbaan tersebut di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Kesemua mereka sangat meminati F1 dan pencapaian kami tahun ini adalah juga kejayaan buat negara ini,” katanya pada sidang media kejuaraan pengeluar dunia Petronas F1 di sini Selasa.

Rosberg, 31, juga berkata SIC merupakan antara litar terbaik di dunia dan banyak perlumbaan berprestij diadakan di situ.

“Ia langkah terbaik Malaysia dalam menarik perhatian dunia seperti untuk perniagaan dan pelancongan,” katanya sambil berharap peminat akan terhibur dengan baki dua tahun lagi perlumbaan F1 di Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia mula menganjurkan F1 pada 1999 dan SIC mempunyai kontrak menjadi tuan rumah perlumbaan berkenaan sehingga 2018.

Sementara itu, Rosberg berkata hubungannya dengan Lewis Hamilton seperti biasa dan percaya persahabatan yang telah terjalin selama 13 tahun itu akan terus berpanjangan.

“Saya cukup faham dengan sikap Lewis kerana kami sama-sama pemandu dan berjuang sehingga ke akhir, ia disebabkan gelaran dunia, maka dia cuba melakukan apa yang dia boleh untuk mendapatkannya.

“Persahabatankami seperti sebelum ini kerana kami berkawan baik, tetapi ia begitu getir dalam tempoh tiga tahun lepas kerana ‘permusuhan’ kami di litar, tetapi itu yang menjadikan kami hebat… sebenarnya ia sesuatu yang baik,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *