Share on Facebook

Sebanyak 8,250 karton rokok seludup bernilai RM1.1 juta yang dibawa masuk dari Thailand menggunakan laluan laut sejauh 100 batu nautika, berjaya dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan, pagi semalam.

Rampasan pada kira-kira jam 7 pagi itu dilakukan sekumpulan lima anggota AKSEM yang membuat risikan di sekitar kawasan Pantai Senok, Bachok sebelum melihat sebuah lori penuh muatan dalam keadaan mencurigakan.

Komander AKSEM Kelantan, Mohd Asri Yahya, berkata lori yang dipandu seorang lelaki cuba melarikan diri menghala Terengganu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan Kampung Bahagia, Jerteh iaitu 50 kilometer dari Pantai Senok, pemandu lori memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum melarikan diri.

“Pemeriksaan terhadap lori terbabit menemui sebanyak 8,250 karton atau 1,650 batang rokok putih jenama U2 dengan anggaran nilai termasuk cukai RM1.1juta.

“Bekalan terbabit dipercayai untuk dihantar dan dipasarkan di sekitar kedai runcit di Terengganu dan Pahang kerana sambutan menggalakkan.

“Pada masa sama, kita percaya kegiatan itu didalangi sindiket terancang dengan menggunakan laluan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, lori yang dianggarkan bernilai RM80,000 turut disita dan barang kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, sempena menjelang Deepavali, pihaknya mempertingkatkan aktiviti pencegahan penyeludupan serta penguatkuasaan melalui operasi dengan kerjasama agensi lain.

“Selain itu, kita perketat kawalan pemeriksaan dan pemantauan di pos statik sekatan jalan raya di tiga lokasi utama.

“Saya meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumkan kepada AKSEM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan yang semakin membimbangkan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *