Share on Facebook

PUTRAJAYA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kepada kerajaan RM19.97 juta daripada kira-kira RM53 juta yang dirampas dalam operasi membabitkan penyelewengan dana oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

SPRM dalam kenyataan hari ini, berkata tindakan itu susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Nurcahaya Arshad, semalam, melucut hak RM19.97 juta itu daripada jumlah keseluruhan wang dan akaun bank yang disita serta diserah kepada kerajaan.

Katanya, pada prosiding itu, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, Mohd Farez Rahman dan Rozanna Abdul Hadi.

“Keputusan melucut hak baki wang yang disita berjumlah RM1.8 juta pula ditetapkan perbicaraannya pada 13 Disember ini,” katanya.

Pada 4 Oktober 2016, SPRM melancarkan Ops JANS membabitkan penyelewengan dana oleh JANS yang mana pada fasa pertama operasi, pasukan penyiasat merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM53 juta daripada dua suspek yang ditahan.

Pada fasa kedua Januari lalu pula, SPRM menahan 35 Ketua Bahagian dan Daerah JANS bagi membantu siasatan penyelewengan dana infrastruktur jabatan berkenaan.

Susulan operasi fasa kedua itu, SPRM membuka 10 kertas siasatan dan memfailkan pelucuthakan wang rasuah yang disita berjumlah kira-kira RM21.78 juta mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kepada Mahkamah Kota Kinabalu.

SPRM berkata, Ops JANS berjaya membongkar satu kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan hampir semua pegawai di jabatan berkenaan dengan rampasan wang tunai terbesar di negara ini sejak penubuhan suruhanjaya itu.

SPRM turut menegaskan, kejadian itu perlu dijadikan iktibar semua pihak untuk memastikan penyelewengan seumpamanya tidak berulang atau berlaku di mana-mana agensi lain.

“Kita memandang serius perkara sebegini yang boleh membantutkan pembangunan negara, sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan menyebabkan rakyat sengsara akibat penyelewengan peruntukan disediakan tidak sampai kepada mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *