Anda di sini!
Utama > Belia > RM14 Juta Untuk Bantuan Persekolahan

RM14 Juta Untuk Bantuan Persekolahan

KUALA TERENGGANU, Kerajaan negeri memperuntukkan RM14 juta untuk bantuan persekolahan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tranformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang, berkata lebih 120,000 murid dan pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dijangka mendapat manfaat daripada dana berkenaan.

Bagi melancarkan proses permohonan, beliau berkata, kerajaan negeri mulai tahun ini membuka permohonan menerusi dalam talian.

Beliau berkata, ibu bapa berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan boleh mula berbuat demikian mulai Khamis ini hingga akhir bulan ini.

“Ibu bapa yang tidak dapat membuat permohonan secara atas talian boleh ke Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan masing-masing untuk mengemukakan permohonan.

“Setiap pelajar akan menerima RM100 dan pengagihan secara tunai akan dilakukan mulai Disember depan.

“Kerajaan negeri juga menetapkan had dua murid atau pelajar bagi setiap keluarga untuk menerima bantuan ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

A Latiff berkata, bagi mengelakkan penipuan maklumat, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Ketirisan untuk melaksanakan saringan dan semakan terutama membabitkan pendapatan bulanan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Berangan itu berkata, jawatankuasa ketirisan dianggotai pegawai daerah dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri itu bertanggungjawab membuat semakan bagi memastikan hanya mereka yang layak dan memenuhi syarat menerima bantuan itu.

Leave a Reply

Top