Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Remaja Tumbuk Penguat Kuasa DBKL Ditahan

Remaja Tumbuk Penguat Kuasa DBKL Ditahan

Polis menahan seorang remaja lelaki yang didakwa menumbuk seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kejadian melibatkan sehelai kain rentang di sini, Ahad.

Kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu dipercayai tercetus apabila mangsa dan tiga rakan sekerjanya menurunkan kain rentang mengecam DBKL yang digantung di bangunan ibu pejabat DBKL.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, tindakan itu dibuat selepas arahan awal supaya sekumpulan remaja serta suspek menurunkannya selepas dipercayai memasang kain rentang tersebut, tidak diendahkan.

“Semasa mangsa dan tiga lagi rakan sekerjanya hendak menurunkan kain rentang itu, remaja berkenaan tiba-tiba datang dan menumbuk mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan suspek telah ditahan serta diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sukri berkata, semakan rekod mendapati suspek berusia 23 tahun itu tidak memiliki rekod jenayah dan akan direman.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

 

Leave a Reply

Top