“Kami mohon maaf, kami tahu perbuatan ini salah,” berikut merupakan permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh Norfarihan Baharudin, 23 tahun, salah seorang remaja yang memanjat mercu tanda Ipoh tempoh hari.

Menurutnya, sudah lama dia dan rakan-rakannya ingin membuat permohonan maaf namun tidak mempunyai medium yang sesuai.

“Sejak perkara ini mula tular di media sosial lagi kami ingin membuat permohonan maaf namun tidak diberi kesempatan dan peluang.

“Tambahan pula apabila rakyat mula mengecam perbuatan kami itu menjadikan saya takut untuk tampil dan beritahu hal sebenar,” katanya kepada media.

Sebelum ini, sekumpulan remaja terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita bertindak memanjat papan tanda ‘IPOH’ baru-baru ini yang kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Selain itu, beliau turut menjelaskan kepada ramai bahawa mereka sebenarnya sudah mengambil kira soal keselamatan sewaktu melakukan aksi tersebut.

“Apabila kami membuat keputusan untuk panjat, soal keselamatan sudah pun difikirkan dan ini juga bukanlah kali kami mendaki gunung atau lakukan aktiviti lasak.

“Setiap orang sudah mempunyai latar belakang masing-masing cuma tidak sangka bahawa perkara seperti ini akan berlaku,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mendakwa bahawa tindakan mereka itu adalah perkara yang tidak dirancang.

“Lumrah seorang ‘hikers’ apabila nampak sesuatu mulalah rasa nak panjat, itulah yang kami rasa sebenarnya bila lihat papan tanda itu.

“Sebenarnya, tiada trek pun untuk sampai ke sana, kami panjat sendiri sahaja, “ katanya.

Lapan individu yang terlibat dalam insiden ini membuat pertemuan dengan exco negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *