Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > RANKING CHONG WEI KEKAL KE LIMA DUNIA

RANKING CHONG WEI KEKAL KE LIMA DUNIA

mh online

Pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei kekal di tangga kelima ranking dunia terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Chong Wei kekal di posisi itu selepas mengumpulkan 73,753 mata manakala juara dunia 2015, Cheng Long dari China menduduki tangga teratas dengan 96,931 mata.

Pemain Denmark, Jan O Jorgensen berada di tangga kedua diikuti Kento Momota dari Jepun manakala bekas juara dunia dan juara Olimpik dua kali yang juga musuh tradisi Chong Wei, Lin Dan berada di kedudukan keempat.

Chong Wei, 33, kini memburu peluang menambah mata di Grand Prix Emas Masters Malaysia di Pulau Pinang, dalam usaha memasuki kelompok empat pemain terbaik dunia sebelum senarai pilihan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil dikeluarkan.

Ia bagi memastikan peluang mendapat laluan lebih mudah di Rio kerana dapat mengelak pertembungan awal dengan tiga pemain terbaik dunia.

Chong Wei kembali beraksi di pentas antarabangsa pada Mei lepas selepas penggantungan lapan bulan atas kesalahan doping yang menyaksikan ranking dunianya daripada posisi utama merudum sehingga 180.

Beliau kemudian melonjak ke tangga ketiga pada 26 Nov lepas sebelum turun ke posisi keempat pada 3 Dis dan kelima pada 17 Dis.

Bekas pemain nombor satu dunia itu masih mencari pingat emas pertamanya dalam penampilan keempatnya di Sukan Olimpik selepas tewas awal pada edisi 2004 di Athens diikuti pingat perak dalam dua temasya terakhir di Beijing 2008 dan London 2016.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top