Rakyat Malaysia perlu memperbaharui komitmen untuk menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan negara dalam meraikan kehadiran tahun 2017, kata Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Beliau berkata semangat kesedaran, kekitaan dan kematangan juga perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat bagi menyelesaikan masalah perbezaan dalam masyarakat majmuk.

“Selepas mengharungi pelbagai pergolakan sepanjang 2016, tiba masanya kita mencermin diri, mengambil iktibar dan menyelesaikan isu-isu terdesak dengan jujur dan praktikal sambil memastikan negara berada dalam landasan untuk transformasi selanjutnya.

“Kita harus mengakhiri tahun ini dengan rasa kesyukuran mendalam di samping berpandangan optimistik terhadap 2017 dengan menamatkan bab lama dan bermula sekali lagi,” katanya dalam kenyataan sempena Tahun Baru 2017 di sini, hari ini.

Beliau berkata pada 2016, negara mengharungi satu siri ujian yang mencabar perpaduan namun, daya tahan dan kepintaran rakyat Malaysia membolehkan negara mengatasi polemik sosiopolitik yang berterusan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya mengekalkan semangat dan memainkan peranan dalam mengekalkan teras untuk melangkah ke hadapan dan merealisasikan hasrat transformasi negara.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *