Share on Facebook

KEMAMAN, Rakyat Kemaman bakal menikmati satu lagi kemudahan kesihatan yang canggih dan terkini dengan pembinaan hospital baharu di kawasan Kijal seperti Hospital Putrajaya yang bernilai RM420 juta.

Anggota Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hospital baharu yang menyediakan 300 katil itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2021.

“Rakyat Kemaman sangat berterima kasih terutamanya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana meluluskan pemintaan penduduk di sini untuk memperoleh sebuah hospital baharu kerana hospital yang ada ketika ini amat menyedihkan.

“Hospital baharu ini sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat di kawasan ini…di samping memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat Kemaman dan kawasan sekitar, ia juga akan menjadi input baharu kepada perkhidmatan kesihatan di seluruh Terengganu,” katanya.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kesyukuran sempena pembinaan Hospital Kemaman yang baharu, dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kemaman merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

Ketika ini, Hospital Kemaman yang terletak di bandar Chukai sangat sesak dengan kehadiran terlalu ramai pesakit serta keluasan hospital yang terhad menyebabkan kawasan itu tidak boleh lagi diubah suai untuk proses naik taraf atau penambahan kepakaran perubatan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohammad Omar berkata projek ini merupakan satu daripada projek pembinaan hospital baharu yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Hospital baharu ini akan menyediakan beberapa kemudahan dan perkhidmatan seperti klinik pesakit luar, rawatan pesakit dalam, rehabilitasi, perkhidmatan X-ray, pergigian dan juga perkhidmatan sokongan yang lain serta kuarters untuk anggota hospital.”

“Pembinaan hospital ini nanti akan menaik taraf perkhidmatan kepakaran sedia ada daripada sembilan kepakaran kepada 20 kepakaran dan sub kepakaran di Hospital Kemaman sekali gus akan mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang.

“Di samping itu, pembinaan hospital baharu ini juga dapat menyediakan fasiliti dan persekitaran yang lebih lengkap, selesa dan kondusif untuk pesakit, saudara-mara dan anggota petugas,” katanya.

Hospital baharu di Kemaman ini bukan sahaja boleh memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di daerah itu yang mempunyai anggaran populasi 450,000 orang malah turut mampu memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk berhampiran seperti daerah Dungun (anggaran 150,000 penduduk) dan juga utara Pahang (Chendor, Cherating dan Sungai Ular).

Dr Mohammad berkata terdapat dua unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan kebakaran di hospital baharu itu nanti memandangkan Kemaman adalah lokasi industri minyak dan gas terbesar dalam negara dan sentiasa berisiko untuk menerima kes melibatkan kebakaran dalam kalangan pekerja industri tersebut.

Ditanya mengenai hospital sedia ada di bandar Chukai, Dr Mohammad berkata ia akan dijadikan sebagai hospital kekal untuk wanita dan kanak-kanak kerana kelengkapan dan peralatan canggih sedia ada juga sudah mencukupi untuk bidang kepakaran perbidanan di hospital itu.

“Ketika ini, terdapat dua dewan bedah di hospital itu dan dua lagi dewan bedah sedang dalam pembinaan. Terdapat juga kemudahan dewan bersalin, CT Scan serta 160 katil pesakit.”

“Cuma, kita perlu naik taraf sedikit kemudahan rawatan untuk bayi pramatang sebagai penambahbaikan terhadap rawatan sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, pembinaan Hospital Kemaman diumumkan oleh Yab Timbalam Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau merasmikan mesyuarat agung tahunan UMNO Bahagian Kemaman tahun lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *