Pelakon Raja Ilya menolak sebarang tawaran lakonan demi menyertai pertandingan Gempak Selebriti yang bakal memperlihatkan kebolehannya sebagai penyanyi.

Raja Ilya, 31, berkata, dia tidak mahu fokusnya sepanjang pertandingan tersebut terganggu dan mengambil serius penglibatannya menerusi program berkenaan.

“Menyanyi saya anggap perkara pelik yang saya buat dalam karier saya jadi tidak boleh main-main dan mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap pertandingan tersebut.

“Atas alasan itu juga saya menolak semua tawaran lakonan sehingga Gempak Selebriti tamat dan ingin memberikan terbaik ketika bertanding,” katanya .

Selain Raja Ilya, Gempak Selebriti turut menampilkan sembilan pelakon lain iaitu Izreen Azminda, Tasha Shilla, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Manakala peserta lelaki adalah Nazim Othman, Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee.

Gempak Superstar akan bersiaran setiap Ahad, pukul 9.00 malam bermula 10 April 2016 menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Dalam pada itu, Raja Ilya berkata, biarpun dia seorang pelakon namun turut meminati bidang nyanyian selain sering berkaraoke bersama teman sekiranya berkelapangan.

Dia menyertai program berkenaan kerana ingin mencabar dirinya melakukan sesuatu yang baharu selain menerima nasihat daripada pelakon terkenal Erra Fazira.

“Erra banyak mendorong saya agar menerima tawaran berkenaan kerana merasakan saya tidak sepatutnya melepaskan peluang keemasan tersebut.

“Saya memang minat menyanyi cuma sebelum ini tidak ada keyakinan diri untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Sementara itu, Raja Ilya berkata, dia juga bertuah apabila komposer terkenal, Azmeer sudi memberi latihan vokal kepadanya sebagai persediaan untuk menyertai Gempak Selebriti.

“Kebetulan Azmeer terlibat dalam filem Soulmate untuk menghasilkan lagu tema karya berkenaan dan saya ambil kesempatan bertanya kepadanya sama ada patut saya memasuki pertandingan ini.

“Tidak sangka pula Azmeer sudi untuk memberi latihan vokal sebelum program bermula 10 April ini,” ujarnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *