Anda di sini!
Utama > Hiburan > Qalisya Buktikan Kemampuan Sebenar

Qalisya Buktikan Kemampuan Sebenar

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Berkat kesungguhan Qalisya untuk membuktikan kemampuannya selepas tiga kali hampir tersingkir, protégé kepada Tomok ini akhirnya berjaya mencuri hati 3 juta penonton sekaligus merebut gelaran juara mingguan di konsert battle kelima Mentor Milenia 2017 dengan membawakan lagu hit penyanyi popular dari England, Adele, yang berjudul “All I Ask”.

Saya rasa kita sudah jumpa Adele versi Malaysia, tetapi mungkin lebih baik!” kata Awi Rafael yang hadir sebagai juri jemputan di konsert minggu lalu sejurus persembahan Qalisya yang menakjubkan. Selain menerima pujian daripada Awi Rafael, Datuk Hattan selaku juri tetap turut menyatakan beliau memang sudah lama menantikan persembahan hebat seperti itu daripada Qalisya.

Ekoran daripada persembahan mantap daripada setiap protégé, Datuk Hattan telah membuat pertimbangan untuk tidak menyingkirkan sesiapa pada malam tersebut.

Keputusan muktamad juri tetap Mentor Milenia 2017 itu telah menyelamatkan dua protégé paling tercorot, Along (Tomok) dan Elica (Akim) dan diberikan peluang untuk berjuang di pentas Mentor Milenia 2017 bersama-sama Balqis & Usop (Hazama), Syeera (Black) dan Qalisya (Tomok).

Datuk Hattan berkata, “Persembahan setiap protégé pada malam ini sudah setanding persembahan peringkat final dan menunjukkan peningkatan yang sangat ketara. Bagi saya, rugi sekiranya Elica dan Along disingkirkan pada tahap ini kerana saya yakin mereka berpontensi tinggi dan mampu memberikan persembahan yang lebih baik pada masa akan datang. Sebagai juri tetap, saya ingin menggunakan kuasa yang diberikan untuk memberi peluang sekali lagi kepada mereka berdua untuk bersaing di pentas Mentor Milenia 2017.” 

Konsert battle kelima telah dimulakan dengan persembahan Along yang menyampaikan lagu Bahasa Inggeris berjudul “When I Was Your Man” (nyanyian asal Bruno Mars). Walaupun kurang sihat, Along tetap berjaya membuktikan dirinya mempunyai ciri-ciri seorang peserta yang layak untuk mara ke peringkat akhir.

Mungkin nasib tidak menyebelahi Along apabila dia terpaksa berada di tangga tercorot walaupun menerima komen-komen yang positif dan markah penuh oleh panel juri.

Protégé Akim, Elica yang pernah bergelar juara mingguan untuk dua minggu berturut-turut tersenarai sebagai peserta kedua di tangga tercorot apabila hanya mendapat 16 markah daripada juri awam menerusi lagu “Benci Tapi Rindu” (nyanyian asal Hetty Koes Endang). Dikatakan sebagai seorang peserta yang konsisten, Datuk Hattan telah menasihatkan Elica supaya mengekalkan momentum yang telah diperolehi dan jangan terlalu yakin dengan diri sendiri.

Elica perlu sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku pada minggu-minggu akan datang.

Studio Sri Pentas 2 telah diserikan dengan kehadiran Awi Rafael, sebagai juri jemputan konsert battle kelima. Penonton dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Awi Rafael dengan lagu duet baharunya bersama Kaka Azraff yang berjudul “Ada Jalannya”. Penutup persembahan pula dilengkapkan dengan rangkaian lagu “Shape Of You dan Bole Chudiyan” oleh kesemua protégé.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, keputusan persembahan para protégé terletak kepada jumlah markah daripada juri tetap dan juri jemputan sebanyak 50%, undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia sebanyak 30% dan 20% daripada juri awam di studio.

 

 

 

 

Leave a Reply

Top