Anda di sini!
Utama > Terkini > Puteri UMNO Gandakan Program Pengukuhan Institusi Keluarga Elak Gejala Buang Bayi

Puteri UMNO Gandakan Program Pengukuhan Institusi Keluarga Elak Gejala Buang Bayi

mh online

Dalam usaha mengekang masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja perempuan dan kes pembuangan bayi, Puteri Umno akan mengadakan lebih banyak program pengukuhan institusi kekeluargaan dalam masa terdekat.

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata selain itu pihaknya juga mahu remaja perempuan agar sentiasa berhati-hati dalam pergaulan dan kurangkan menggunakan media sosial agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif sehingga membawa kepada masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

“Mereka juga dinasihatkan agar tidak mudah percayakan teman lelaki mereka dan kurangkan masa menggunakan laman sosial.

“Perkara seperti ini perlukan kerjasama semua pihak dengan keluarga dan masyarakat juga perlu memainkan peranan. Bagi kami (Puteri UMNO), pengukuhan institusi keluarga adalah perkara terpenting dan wajar diberikan perhatian.

“Banyak pasangan muda yang mudah terpengaruh dengan media sosial dan ini antara perkara yang mencetuskan kejadian pembuangan bayi terus berlaku,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bayi yang ditemui di tandas Terminal Kuantan Sentral, dekat sini Jumaat lalu yang kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan (HTAA) Afzan di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohd Azahari Mohd Daut.

Jumaat lalu, seorang tukang cuci terkejut apabila menemui bayi masih bertali pusat dan berbalut kain batik dalam tandas awam di Terminal Sentral Kuantan dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Shahaniza berkata, pihaknya berterima kasih kepada kakitangan HTAA yang menjaga bayi malang itu dengan baik dan kerajaan negeri dengan kerjasama JKM akan membawa bayi itu untuk ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom selepas semua urusan selesai.

“Buat masa ini, bayi berkenaan akan ditempatkan di HTAA. Selepas proses rawatan dan siasatan dijalankan pihak polis, kita akan bawa bayi ini ke Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom.

“Kita juga ada terima banyak reaksi daripada orang ramai yang mahu menjadikan bayi ini sebagai anak angkat. Untuk makluman semua, JKM ada prosedur yang perlu dipatuhi dan jika mereka mahu dapatkan hak penjagaan atau mengambil anak angkat, mereka perlu daftar dulu dan tunggu giliran untuk ditemubual pihak JKM.

“Kerajaan negeri juga sudah mendapatkan statistik kes pembuangan bayi yang direkodkan di Pahang dan setakat ini, kes itu tidak membimbangkan dan kita berhasrat untuk menjadikan negeri ini sifar kes pembuangan bayi,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top