Anda di sini!
Utama > Terkini > Pusat Lulus 8 Juta Untuk Projek Tebatan Banjir di Kelantan

Pusat Lulus 8 Juta Untuk Projek Tebatan Banjir di Kelantan

mh online

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM8 juta bagi pembinaan projek tebatan banjir untuk mengatasi masalah banjir di kawasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek itu penting bagi mengelakkan perkhidmatan di hospital berkenaan terjejas apabila berlaku banjir seperti Disember tahun lepas.

“Saya ambil maklum hospital ini terletak dalam kawasan banjir, oleh itu cadangan untuk membina “flood mitigation gates” amat wajar dan patut diberi pertimbangan, dengan kos RM8 juta, boleh saya luluskan dalam majlis ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Rawatan Harian dan Hemodialisis HRPZII hpada Sabtu.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedia menimbangkan cadangan membina Kompleks Ibu dan Kanak-Kanak di hospital berkenaan berdasarkan kemampuan kerajaan memandangkan kosnya agak besar.

Cadangan projek tebatan banjir dan Kompleks Ibu dan Kanak-Kanak itu dikemukakan Subramaniam semasa berucap pada majlis berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan pusat berlaku adil kepada semua negeri dan rakyat Malaysia dengan memperkenalkan pelbagai program bagi menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik kepada rakyat.

“Antaranya, kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk membantu menangani isu kos sara hidup dalam jangka masa panjang di bawah Program Transformasi Kerajaan atau GTP 1.0 untuk membantu rakyat membiayai keperluan asas dan perkhidmatan.

“Kerajaan memperkenalkan Klinik 1Malaysia bagi menyediakan rawatan yang mampu dan murah dengan bayaran RM1,” katanya.

Kompleks setinggi lima tingkat melibatkan kos RM177.8 juta yang dirasmikan Najib hari ini dilengkapi 82 bilik perundingan, ruang kerja dan ruang menunggu yang lebih luas untuk pesakit serta enam dewan bedah.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top