Anda di sini!
Utama > Terkini > Punca Kematian Kanak-Kanak Orang Asli Disiasat

Punca Kematian Kanak-Kanak Orang Asli Disiasat

mh online

Jabatan Kesihatan Perak akan menjalankan siasatan sama ada kematian kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun di Kampung Bunga Hilir di Belum, berpunca daripada penyakit serawan (Oral Candidiasis) atau sebaliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dan Jabatan Kemajuan Orang Asli hanya menerima laporan berhubung kematian seorang kanak-kanak tiga minggu lepas.

“Pihak kami tidak menerima laporan berhubung banyak kematian (penduduk di kampung itu) yang berpunca daripada penyakit serawan di kampung Orang Asli terbabit seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar hari ini,” katanya pada sidang media di sini Selasa.

Mah berkata beliau akan mengetuai lawatan ke kampung itu bersama-sama Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Juwita Ghazali, pada Khamis ini.

“Kita akan membuat pemeriksaan perubatan bagi mengesan penyakit serawan dan penduduk yang dijangkiti penyakit itu akan dibawa keluar untuk rawatan serta-merta.

“Kita akan mengadakan rawatan bergerak pada setiap minggu, dan yang penting kita hendak menasihati komuniti di situ supaya mengubah cara hidup mereka untuk jangka panjang dengan tidak berpegang kepada pantang larang,” katanya.

Mah juga berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menghidupkan semula program ‘community feeding’ di kampung tersebut.

“Di bawah program ini, kanak-kanak Orang Asli yang berusia enam bulan hingga enam tahun diberi susu dan makanan manakala ibu yang hadir diberi pendidikan kesihatan mengenai pemakanan sihat, kebersihan diri dan penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Dr Juwita berkata kanak-kanak kekurangan zat makanan biasanya mudah dijangkiti penyakit serawan yang mana terdapat keputihan atau ulser di dalam mulut.

“Penyakit ini hanya memerlukan penjagaan kebersihan mulut bayi selepas setiap kali menyusu dan pemakanan sihat untuk ibu yang menyusu. Penyakit ini boleh menyebabkan kanak-kanak menghadapi masalah menelan makanan atau minuman, dan ini boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan,” katanya.

Dr Juwita juga berkata pesakit akan dirujuk untuk rawatan lanjut oleh Pasukan Bergerak Orang Asli ke hospital berdekatan sekiranya terdapat jangkitan kuman yang serius atau jangkitan sekunder ke atas ulser itu.

Beliau berkata penduduk menerima perkhidmatan kesihatan daripada Pasukan Bergerak Orang Asli di PKD Hulu Perak setiap dua minggu.

“Jumlah purata kedatangan (penduduk) ke perkhidmatan ibu dan anak setiap sesi klinik adalah seramai 30 hingga 40 orang di Pos Sungai Kejar. Bagi pesakit luar pula, purata kedatangan setiap sesi adalah 15 hingga 20 orang,” katanya.

Dr Juwita juga berkata antara masalah dihadapi pihaknya ialah penduduk kampung berkenaan lebih gemar berubat secara tradisional serta amalan berpantang makan minum, larangan menjejakkan kaki ke tanah dan mendapatkan rawatan dengan pihak klinik atau hospital.

Terdapat sejumlah 420 penduduk Orang Asli kaum Jahai di kawasan Sungai Kejar, Belum yang menghuni di tiga kampung iaitu Kampung Bunga Hilir, Kampung Kerja Satu dan Kampung Kerja Dua.

Mereka terpaksa menempuh jarak perjalanan selama setengah jam melalui jalan air menggunakan bot laju dari kampung terbabit, ke balai rawatan terdekat di Pos Sungai Tiang, manakala perjalanan dari jeti Pulau Banding pula mengambil masa sejam.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top