Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PUNB Mahu Iktiraf Usahawan Terbaik

PUNB Mahu Iktiraf Usahawan Terbaik

MELAKA, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mahu mengiktiraf kira-kira 700 usahawan di 14 buah negeri yang menampilkan prestasi cemerlang pada akhir Januari depan.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata seramai 50 usahawan PUNB terbaik setiap negeri akan dipilih dan usaha terbabit bagi memperkasakan golongan berkenaan mencapai matlamat sejajar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita mahu memberikan sokongan padu dan semangat kepada usahawan Bumiputera untuk berjaya dalam menuju TN50. Ganjarannya kita belum putuskan dan kita akan berbincang untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kelab Ali Rustam (ARC) di Kota Fesyen, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Mohd Ali berkata, majlis pelancaran pengiktirafan itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, PUNB kini menyalurkan pinjaman sebanyak RM177 juta kepada 550 usahawan Bumiputera bagi mengembangkan perniagaan mereka, setakat semalam.

“Pada akhir bulan ini, pihak PUNB boleh menghabiskan baki daripada RM200 juta peruntukan yang ada kepada permohonan yang baharu diluluskan pinjaman,” katanya.

Beliau yakin PUNB mampu mencapai sasaran itu, malah dalam keadaan ekonomi sekarang, golongan usahawan digalakkan merebut peluang perniagaan menerusi sektor digital ekonomi, industri halal dan juga kendera saji.

Leave a Reply

Top