Share on FacebookKUALA LUMPUR, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengingatkan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah ‘Bapa Segala Pilihan Raya’.

Sehubungan itu, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri menyeru jentera UMNO diletakkan dalam kesiapsiagaan untuk berjuang mengekalkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Perang kali ini yang bergelar Bapa Segala Pilihan Raya, kita akan bertempur, berlawan… lawan habis-habisan!.. Allahu Akbar! Allahu Akbar!,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.

Berucap di hadapan 2,718 perwakilan, Presiden UMNO mengingatkan mulai sekarang, obor perang yang jamungnya sudah berjulang tidak sesekali boleh dibiarkan padam.

“Demamnya pula tidak akan kebah-kebah melainkan selepas kita menang besar dalam PRU-14,” katanya.

Mengimbas perhimpunan bagi meraikan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei lalu, Najib berkata pasti ramai yang masih mengingati doa yang diaminkan ratusan ribu ahli UMNO.

“Memohon setulus ke hadrat Allah Hu Taala supaya dilindungilah, perjuangan parti UMNO ini, dirahmatilah, segala usaha yang kita lakukan, demi agama, bangsa dan negara serta diberkatilah, tanah tumpah bertuah ini.

“Justeru, kita terus merafak harapan membumbung kepada Yang Maha Penyayang, biarpun burung berhenti bersiulan, sekalipun bumi ini kontang tidak menghijau lagi, hatta alam sekeliling jadi membisu… mohon barang dijauhkanlah oleh Tuhan, sebarang mala petaka daripada menimpa umat Melayu Bumiputera ini.

“Lantas marilah kita beri tepukan sekuat-kuatnya sebagai pembakar semangat bahawa pertemuan hari ini bukan biasa-biasa, akan tetapi satu perkumpulan yang bakal diingat dan dikenang sebagai penghulu segala perhimpunan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *