Proses transisi skuad kebangsaan antara pemain senior kepada pemain muda bagi meneruskan legasi bola sepak Malaysia sedang berjalan lancar, kata ketua jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata apa yang penting sekarang ialah pemain senior mampu bekerjasama dan membimbing pemain muda dalam skuad Harimau Malaysia bagi memastikan usaha itu menjadi kenyataan.

Kim Swee berkata bagi membentuk sebuah pasukan mantap bagi menjadi pelapis kepada pemain senior, beberapa pemain tonggak muda dikenal pasti mampu menjadi watak penting dalam pasukan negara pada masa hadapan seperti pemain tengah Kelantan, Brendan Gan.

“Tetapi prestasi semasa mereka (pemain muda) ini terutama dalam liga amat penting, jika pemain itu (pemain tonggak) seperti Brendan bermain baik di sini, tetapi dalam liga selepas ini tidak bermain dengan baik, mereka tidak akan dipilih,” katanya di sini malam ini.

Beliau ditemui pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Macau di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam esok.

Turut hadir pada sidang media itu ialah penyerang negara Mohd Amri Yahyah, ketua jurulatih Macau Joseph Tam dan ketua pasukan Macau Paolo Cheng.

Mengenai perlawanan malam esok, Kim Swee berkata beliau berkemungkinan membuat sedikit perubahan dalam kesebelasan utama, berbanding ketika menentang Arab Saudi baru-baru ini.

Sementara itu, Tam mendedahkan pemainnya terdiri daripada pemain amatur yang bertugas antaranya sebagai guru dan penjawat awam, malah kapten pasukan berkenaan, Cheng adalah seorang guru.

Namun, beliau melaungkan amaran betapa anak buahnya akan berjuang habis-habisan untuk mengimbangi permainan Malaysia esok.

“Kami sedar Malaysia bakal menampilkan corak permainan pantas, maka kami akan cuba memperlahankan rentak permainan. Kami akan sentiasa berwaspada terhadap gerakan pemain-pemain Malaysia terutama ketua pasukan (Safiq Rahim) dan penyerang (Mohd Amri).

“Tetapi, apa yang penting kepada kami adalah untuk belajar dan menimba pengalaman dari Malaysia agar pasukan kami menjadi mantap pada masa akan datang,” kata Tam, yang bertugas sebagai editor kanan di sebuah stesen televisyen di Macau.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *