Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Proses Deradikalisasi Di Malaysia Berjaya

Proses Deradikalisasi Di Malaysia Berjaya

mh online

Di usia 53 tahun sejak penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963, negara berjaya mematahkan ancaman dan segala bentuk keganasan yang cuba menular merosakkan demokrasi negara.

Selain mematahkan ancaman sedemikian, sejarah turut membuktikan bahawa negara juga mampu memulihkan atau deradikalisasi anggota yang terpengaruh dengan ideologi berkenaan termasuk komunis, Al-Maunah, Al-Arqam dan banyak lagi kumpulan kecil lain.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata proses deradikalisasi yang dilaksana kerajaan setakat ini disifatkan berjaya dalam menghapuskan ancaman kumpulan tersebut daripada berulang.

“Juga penting adalah tindakan pencegahan termasuk menggunakan undang-undang sedia ada, pertukaran maklumat antara pasukan keselamatan serta pemantauan terhadap sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan sentiasa dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan sentiasa berwaspada dan meningkatkan kemampuan pencegahan dan pada waktu yang sama, mengekalkan ketenteraman negara serta mengelakkan ketakutan rakyat.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan Malaysia dalam melaksanakan proses deradikalisasi atau pemulihan terhadap pengganas dan golongan ekstremis sudah mencapai tahap 95 peratus dan ia mendapat pengiktirafan dunia.

Pengiktirafan itu dilihat apabila Malaysia dipilih oleh Amerika Syarikat untuk menjadi tuan rumah pusat maklumat balas digital serantau bagi memerangi golongan pelampau.

Minggu depan, negara akan menganjurkan persidangan antarabangsa selama dua hari mengenai strategi anti radikalisme dan memerangi keganasan melampau yang disertai beberapa negara termasuk anggota ASEAN bagi berkongsi maklumat dan perbincangan terhadap usaha deradikalisasi serta membendung ancaman keganasan.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin berkata kejayaan kerajaan melaksanakan proses deradikalisasi telah menyelamatkan negara ini daripada pelbagai bentuk ancaman.

Beliau yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Kementerian Dalam Negeri dan turut terlibat dalam proses pemulihan tahanan mengambil contoh, pada era pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1960 hingga pemansuhannya, sebanyak 8,883 tahanan berjaya dipulihkan.

“Bagi pengkritik, (ISA) ini zalim tapi nilai yang kita lakukan denga ISA telah banyak menyelamatkan negara daripada mengancam dan merosak ketenteraman awam, dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Deradikalisasi adalah istilah yang diambil dari bahasa Inggeris ‘deradicalisation’ yang bermaksud sebuah langkah untuk mengubah sikap dan pandangan yang dianggap keras, ekstrem dan radikal menjadi toleran, sederhana dan liberal.
Proses ini dilakukan oleh jabatan atau agensi tertentu seperti Jabatan Penjara Malaysia atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia terhadap tahanan yang terbabit dengan fahaman ekstrem bagi mengubah sikap mereka dan mengelakkan mereka daripada mengembangkan ideologi negatif itu kepada orang lain.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top