Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Projek Pembangunan KKLW Disegerakan

Projek Pembangunan KKLW Disegerakan

PUTRAJAYA, Semua projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan bermula Februari depan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa projek yang akan dilaksanakan, terutama projek jangka pendek yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan kira-kira 30 peratus atau RM1.049 bilion daripada RM3.87 bilion peruntukan pembangunan yang diterima kementerian tahun ini.

“Projek jangka pendek seperti pembinaan jalan kampung, pembaikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan memasang lampu jalan tidak memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.

“Projek seperti ini perlu siap secepat mungkin, dalam tempoh suku pertama tahun ini, supaya rakyat dapat menikmati faedah dengan segera,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri I, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Borhan Dolah.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan semua projek di bawah kementerian itu dapat dilaksanakan segera, termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan sudah menyalurkan peruntukan bagi projek pembangunan projek boleh diteruskan seperti dijadual.

“Kita juga akan meneruskan pelaksanaan kursus kemahiran bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar kepada sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

“Kita bukan hanya memberi kursus semata-mata tetapi turut menyediakan peralatan yang boleh mereka gunakan untuk memulakan perniagaan sekali gus menjana pendapatan,” katanya.

Leave a Reply

Top