Share on Facebook

Program Feloship Sukarelawan Profesional Antarabangsa (VIP) yang kini diadakan untuk kali ketiga berjaya memberi kesan positif terhadap masyarakat dari segi sosial, persekitaran, ekonomi, keusahawanan dan pertanian.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata program VIP yang kini masuk tahun kedua, telah menarik 50 profesional pelbagai bidang, termasuk 30 warga asing dan 20 rakyat tempatan, dengan memberi tumpuan terhadap usaha amal sekitar Malaysia dan wilayah ASEAN.

“Setakat ini, program ini telah berjaya. Sebelum ini kami mengadakan lawatan ke kawasan luar bandar, membantu mereka yang kurang bernasib baik, mencetus kesedaran terhadap persekitaran dan kebersihan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Tengah Hari Amal Masala Wheels di sini semalam.

Program VIP ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan terdiri daripada sukarelawan dari seluruh pelusuk dunia, dengan Masala Wheels bertindak memupuk perusahaan sosial bagi memperkasa masyarakat menerusi inisiatif keusahawanan makanan dan minuman.

“Kami berinteraksi (dengan komuniti) dan membawa masyarakat bergerak ke hadapan, selaras dengan tema yang kami sasarkan iaitu ke arah hidup yang lebih cemerlang,” katanya.

Mohd Irwan Serigar berkata terdapat banyak masalah sosial yang memerlukan campurtangan dan sebaiknya ia datang daripada sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga perusahaan sosial.

“Peserta dari luar negara dibawa ke sini kerana mereka ingin datang dan bantu kita. Kita membahagikan mereka kepada 10 kumpulan dengan projek yang berbeza, termasuk Masala Wheels, sementara kumpulan lain menguruskan kanak-kanak kurang bernasib baik, yang tercicir dan lain-lain.

“Antara objektif program ini ialah untuk memupuk dan memberi pendidikan (komuniti) agar menjadi individu yang mampu berdiri dengan sendiri pada masa hadapan,” katanya.

Antara lain, peserta turut memberi pendidikan mengenai pertanian dan kesedaran alam sekitar kepada Orang Asli di Pahang, melawat sekitar Kuala Lumpur, berjumpa dan membantu golongan gelandangan, menjadikan individu gelandangan sebagai pemandu pelancong dan bekerjasama dengan Kumpulan Sunway untuk menyediakan kerja dalam bidang makanan dan minuman.

Sementara itu, beliau berkata mereka turut membantu belia yang kurang bernasib baik di Kota Belud, Sabah dalam bentuk sukan lasak, seperti sukan kayak arus deras dan memberikan mereka kemahiran untuk menjadi jurulatih dan pemandu pelancong.

“Kami sedang membawa mereka keluar dari jalanan dan kini kami akan meneruskan cabaran bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik di negara ASEAN.

“Di Lombok, Indonesia, kami akan membantu ibu tunggal dan kurang bernasib baik, untuk mengusahakan produk mereka sendiri dengan sumber yang mereka ada, seperti sesuatu yang boleh dimakan dan produk buluh yang boleh dipasarkan.

“Di Filipina pula, kami akan membantu penduduk asli dengan mengajar mereka kemahiran untuk menjadi pemandu pelancong kerana kami akan mewujudkan akademi pelancongan di Kemboja.

“Kami telah menghubungi mereka dan selepas ASEAN, kami berharap dapat membantu mereka yang berada di bahagian lain dunia,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *