Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Program My Second Home Beri Manfaat Kepada Negara

Program My Second Home Beri Manfaat Kepada Negara

Program Malaysia My Second Home (MM2H) memberi banyak manfaat dan sumbangan kepada negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, program tersebut telah memberikan banyak manfaat dan sumbangan dalam lingkungan RM2.9 bilion setiap tahun.

“Ia termasuk kutipan hasil fi visa sebanyak RM6.85 juta, pembukaan simpanan tetap di Malaysia sebanyak RM542.55 juta dan pembelian hartanah kediaman sebanyak RM673.96 juta.

“Anggaran ini tidak mengambil kira perbelanjaan isi rumah bulan yang bergantung kepada bilangan ahli keluarga serta perbelanjaan pendidikan bagi anak-anak mereka,” katanya dalam sesi pertanyaan lisanĀ  di Dewan Rakyat, hari ini.

Program MM2H turut melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Laporan dari International-Living.com telah menunjukkan Malaysia berada di tempat keenam terbaik di dunia dan terbaik di Asia sebagai destinasi persaraan.

“Tambahan kepada itu, kaji sedikit tahunan oleh Japan Longstay Foundation juga menunjukkan Malaysia merupakan pilihan utama untuk tinggal jangka panjang di kalangan rakyat Jepun yang berusia 40 tahun dan ke atas sejak tahun 2006,” katanya lagi.

Program MM2H merupakan satu program jangka panjang yang menarik dan menawarkan peluang kepada warganegara asing yang berkelayakan untuk tinggal lebih lama dan belanja lebih banyak di negara ini.

Peserta program ini akan diberikan Pas Lawatan Sosial selama 10 tahun berserta dengan visa.

Sejak dilancarkan pada 2002, program ini telah menarik dan meluluskan 31,723 warga asing daripada 126 negara termasuk Jepun, India, United Kingdom, Taiwan, Iran dan Korea.

Leave a Reply

Top