KUALA LUMPUR, Kerajaan akan meneruskan program-program pembaharuan yang telah diiktiraf oleh pakar di seluruh dunia, untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan Malaysia meneruskan perjalanannya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk negara walaupun ia sering menjadi cabaran buatnya sebagai perdana menteri.

“Saya tidak akan mengabaikan tanggungjawab saya selagi rakyat mahukan saya untuk terus memimpin negara ini. Saya akan lakukan yang terbaik. Saya beri jaminan bahawa terdapat kerajaan yang adil dan akan terus memacu ke arah negara yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2017 di sini hari ini.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata kerajaan tidak akan menjadi populis hanya untuk memenangi sokongan daripada rakyat.

“Tetapi, kami tidak keberatan sekiranya anda menyokong kami untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Najib berkata sukar baginya memenuhi kesemua permintaan pihak atau rakyat yang membawa harapan tinggi ketika datang menemuinya termasuk di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Tetapi, perdana menteri berkata rakyat harus sedar bahawa beliau tidak dapat merealisasikan setiap jangkaan mereka yang berharap dapat melihat keinginan mereka diluluskan.

“Inilah yang sentiasa menjadi cabaran semasa memegang jawatan ini, ” katanya sambil bersumpah akan melakukan yang terbaik untuk negara ini.

Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan matlamat umum untuk meletakkan Malaysia sebagai 20 negara terbaik di dunia menjelang 2050.

“Kami telah mengambil pendekatan ‘bottom-up’ (dari bawah ke atas) dan bukannya ‘top-down’ (dari atas ke bawah) dalam merangka pelan pelaksanaan TN50 kerana kami mahu visi baharu dirasakan oleh rakyat “untuk menjadi milik mereka.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *