Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Program MIV Bantu Didik Komuniti Digital

Program MIV Bantu Didik Komuniti Digital

CYBERJAYA, Dalam usaha melahirkan masyarakat berliterasi digital dan media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewujudkan Program Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) yang menjadi landasan para sukarelawan untuk berinteraksi dengan rakyat  selain daripada menyokong inisiatif  Negara Digital Pintar 2020.

MIV turut membawa misi untuk mendidik komuniti menjadi rakyat digital yang mampu memajukan dan menghasilkan aplikasi dan perkhidmatan ICT yang memberi manfaat dalam kehidupan seharian.

Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 1,013 sukarelawan dari seluruh negara yang telah menyumbangkan tenaga dan ilmu kepada masyarakat dalam pelbagai aktiviti MIV.

“MCMC telah memulakan program MIV sebagai projek perintis di Sarawak pada 2016, dan sepanjang Program Sukarelawan ICT Malaysia dijalankan, ia telah berjaya menjangkau penerima sehingga 250,015 orang,” dipetik sebagai berkata.

Antara khidmat yang diberikan oleh sukarelawan MIV ialah melaksanakan strategi pemasaran dalam talian bagi membantu pengusaha tempatan memasarkan produk, mendidik pengunaan ICT secara berhemah, dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap mesej-mesej advokasi MCMC.

Eneng Faridah berkata, program MIV terdiri daripada lima fokus utama iaitu MIV Bersama Komuniti, MIV Bersama Sekolah, MIV Bersama Institut Pengajian Tinggi Malaysia,  MIV bersama Sukarelawan ICT Antarabangsa  dan Sukarelawan ICT Antarabangsa di Malaysia.

Mengulas kejayaan program MIV , Eneng Faridah berkata MCMC mementingkan kualiti sesuatu latihan yang dijalankan oleh para sukarelawan serta mutu pembelajaran yang diberikan kepada komuniti sepanjang program berlangsung.

“Antara program MIV yang membanggakan ialah MIV Bersama Komuniti 2017, dengan sebanyak 560 kelas dan latihan  telah dijalankan oleh para sukarelawan di Pusat Internet 1 Malaysia dan melibatkan 6030 orang yang mengambil bahagian,” kata beliau.

Program ini turut berjaya memanfaatkan  374 pengusaha tempatan bagi memulakan dan memajukan perniagaan atas talian seperti penjualan produk kraftangan, makanan, fesyen dan perkhidmatan seperti bengkel kenderaan.

Katanya lagi, bagi menghargai sumbangan sukarelawan yang telah mencurah khidmat kepada masyarakat  sepanjang program, MCMC mengambil inisiatif untuk mengadakan Anugerah Kecemerlangan MIV 2018 pada 23 Februari ini bagi memberi pengiktirafan kepada sukarelawan yang terpilih.

“Anugerah ini diberikan kepada sukarelawan yang berjaya mencapai sasaran program berdasarkan enam kategori seperti MIV Bersama Sekolah 2016 dan 2017, MIV Bersama Komuniti 2016 dan 2017, dan Anugerah Khas MIV yang diberikan kepada sukarelawan yang membawa insipirasi kepada komuniti,” kata Eneng Faridah.

Ujarnya lagi, walaupun program MIV baru sahaja berusia dua tahun, namun program MIV telah menerima pencalonan di peringkat antarabangsa oleh Sidang Kemuncak mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) bagi kategori  pembangunan modal insan.

Beliau berkata, walaupun masih di peringkat pencalonan, MCMC menerimanya sebagai satu kejayaan kepada inisiatif yang dilakukan di dalam negara untuk menyebarluaskan mesej-mesej kepentingan ICT dalam kehidupan seharian.

“Pemenang bagi pencalonan ini dinilai daripada jumlah undian yang diterima dan rakyat Malaysia boleh mengundi di laman web www.itu.int di bawah WSIS bagi memberi menunjukkan sokongan kepada program MIV,” katanya.

MCMC turut mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menjadi  sukarelawan MIV supaya mendaftar secara dalam talian di www.miv.mcmc.gov.my bagi mengikuti latihan mandatori selama dua hari sebelum memulakan aktiviti sukarelawan.

Leave a Reply

Top