Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Program “The Beauty Of Autism” Beri Kesedaran Tentang Autisme

Program “The Beauty Of Autism” Beri Kesedaran Tentang Autisme

Bersempena dengan Bulan Kesedaran Autisme yang disambut setiap April, Pergerakan Puteri Umno akan mengadakan program ‘The Beauty Of Autism’ bagi memberikan kesedaran mengenai autisme kepada orang ramai.

Ketua pergerakan itu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata menerusi program itu, Puteri Umno dengan kerjasama Persatuan Masyarakat Sejagat Muar Johor (MyHELP) akan mengadakan pelbagai aktiviti bagi memastikan orang ramai memahami secara menyeluruh mengenai autisme.

“Antara objektif program ini ialah mendedahkan bahawa autisme boleh dirawat, memberikan kefahaman bahawa autisme bukan disebabkan rasukan atau sihir serta mendekati dan menyokong ibu bapa serta ahli keluarga kanak-kanak autistik.

“Selain itu, ia bagi mengalakkan orang ramai untuk menerima kanak-kanak berkenaan sebagai kanak-kanak istimewa yang tidak membahayakan masyarakat,” katanya kepada pemberita pada majlis tayangan amal filem ‘Redha’ di sini, Khamis malam.

Filem itu mengisahkan perjuangan sebuah keluarga dalam membesarkan seorang anak autistik.

Mas Ermieyati berkata tayangan amal filem Redha adalah antara aktiviti awal yang disusun untuk memberi kesedaran mengenai autisme, sekali gus mempromosikan acara kemuncak ‘The Beauty of Autism’ pada akhir bulan ini.

Program itu akan diadakan pada 30 April ini di KL Sentral dari 11 pagi hingga 5 petang.

Jabatan dan agensi seperti Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Permata Kurnia, Autisme Malaysia dan IDEAS Autism Centre yang terlibat secara aktif dalam autisme juga akan membuka gerai pameran dan memberi khidmat nasihat mengenai autisme kepada pengunjung.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MyHELP Dr Nur Faizah Ali berkata autisme adalah satu keadaan di mana perkembangan seseorang kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun tidak berlaku dengan normal.

“Dianggarkan satu dalam 68 kelahiran di Malaysia mempunyai risiko mengalami gejala autisme dan risikonya tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan,” katanya.

Leave a Reply

Top