Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan bersetuju membangunkan Program Asas Persediaan Bahasa Arab untuk para pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Timur Tengah dan melaksanakan Ujian Kelayakan Bahasa Arab (UKBA) di Malaysia.

Beliau berkata ia adalah satu daripada empat perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pendidikan Agama Islam yang turut dianggotai Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu juga bersetuju untuk memperluaskan syarat memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi memberi peluang kepada murid-murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) untuk memohon belajar di sekolah-sekolah berkenaan.

Menurutnya kerajaan juga bersetuju untuk memberi kelulusan khas kepada pemegang Ijazah Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Mesir lepasan Maahad Tahfiz al-Quran, Pulai Chondong, Kelantan, sebagai Ijazah Pertama Pengajian Tahfiz, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Jawatankuasa itu bersetuju untuk menyemak semula syarat minimum A- kepada B untuk subjek Bahasa Arab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat kelayakan untuk pelajar memohon dan memasuki Universiti Awam di Jordan,” katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa mengambil perhatian utama terhadap hala tuju dan masa depan Pendidikan Agama Islam di Malaysia bagi memastikan kelangsungannya sentiasa selari dan memenuhi keperluan arus perdana.

“Kerajaan yakin dengan pelaksanaan keputusan-keputusan ini akan menjadi aspirasi ampuh kepada legasi Pendidikan Islam yang gemilang di negara ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *