Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata politik di Sabah masih berpaksikan kepada politik pembangunan, ekonomi dan kestabilan sebagai jaminan masa depan untuk kemakmuran rakyat dan negeri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketiga-tiga elemen itu menjadi asas penting dalam menentukan hala tuju perjuangan Barisan Nasional (BN) di negeri ini demi memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, rakyat Sabah masih memerlukan banyak pembangunan dan ia menuntut usaha berterusan kerajaan bagi menyalurkan keperluan yang belum dipenuhi agar rakyat di negeri ini terutama di luar bandar tidak ketinggalan.

Beliau memberi contoh, di daerah ini, kerajaan mahu melihat ia membangun sebagai sebuah kawasan yang maju dan memiliki prasarana yang lengkap termasuk kemudahan jalan raya yang dihubungkan dengan Lebuhraya Pan Borneo.

“Prinsip kedua ialah dari segi ekonomi. Sabah harus dibangunkan sebagai negeri berpotensi yang baik, pendapatan perkapita yang sama dengan rakyat Malaysia keseluruhan, peluang kerja yang banyak dan potensi pelaburan.

“Elemen ketiga pula ialah politik kestabilan, …kita perlukan kestabilan kerana tiada negara boleh maju tanpa kestabilan politik,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Serentak Cawangan UMNO, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kota Marudu, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Ketua UMNO Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata isu Sabah untuk Sabahan yang dilaungkan pihak pembangkang bertujuan memecahbelahkan rakyat dan tidak sewajarnya dipolitikkan kerana boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Siapa kata Sabah untuk orang bukan dari Sabah, ia mesti untuk Sabahan, malah Perdana Menteri sanggup beri kuasa dalam banyak perkara untuk rakyat Sabah. Yang penting ialah rundingan dan ini yang dilakukan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Oleh itu jangan ada pecah belah kerana perbezaan politik. Kita boleh terima perbezaan tapi untuk kepentingan pertahanan dan keselamatan saya tidak boleh terima, ertinya kita boleh berbeza pendapat tetapi pastikan ia tidak menjejaskan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata kedudukan Sabah yang dikaitkan sebagai kubu kuat BN bukan satu keistimewaan kepada kerajaan negeri, sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab yang harus dipertahankan.

“Kita kuat dan mantap kerana kita bekerja, bersatu-padu dan hormat-menghormati bukan saja dalam UMNO, malah juga komponen BN dan ini yang kita lakukan selama ini,” katanya. Pada majlis itu Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan kerajaan untuk melaksanakan segera kerja menaik taraf Jalan Sonsogon Magandai sepanjang 37 kilometer yang menghubungkan 15 kampung terpencil di daerah ini.

Majlis perasmian itu adalah yang pertama dihadiri Ahmad Zahid sejak persidangan peringkat cawangan UMNO diadakan di seluruh negara bermula semalam.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *