IPOH, Tiga ahli Geng Vijay termasuk seorang remaja ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini sejak bulan lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 19 tahun ditahan di sebuah rumah di Sungai Siput, jam 12.30 tengah malam, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata hasil risikan polis selama sebulan mendapati ketiga-tiga suspek tinggal di Sungai Siput, namun melakukan samun bersenjata di bandar raya ini.

Katanya, suspek membuat tinjauan bagi mengenal pasti sasaran kedai serbaneka sebelum menyamun di premis itu menggunakan parang pada tengah malam atau awal pagi.

“Penahanan ketiga-ketiga suspek berjaya menyelesaikan empat kes samun kedai serbaneka 24 jam di bandar raya ini yang kerugiannya dianggarkan sebanyak RM5,000.

“Antara barang yang dicuri adalah rokok dan wang tunai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini hari ini.

Chang Keong berkata, hasil semakan mendapati suspek berusia 17 tahun memiliki satu rekod jenayah lampau membabitkan curi manakala seorang lagi berusia 18 tahun mempunyai dua jenayah lampau membabitkan curi dan melakukan rusuhan.

Katanya, seorang lagi suspek berusia 19 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau kes curi dan mendatangkan cedera ketika samun bersenjata.

“Semua suspek direman tujuh hari bermula Khamis hingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *