SHAH ALAM, Polis Selangor akan menjalankan siasatan dua hala berhubung dakwaan seorang lelaki mengatakan wujud salah laku seorang pegawai polis yang dikatakan telah meminta sejumlah wang bagi melindungi kegiatan haram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan membuat siasatan lanjut ke atas aduan salahlaku seperti yang dinyatakan dan telah tular di laman sosial itu.

“Polis tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang telah melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kita juga memberi jaminan siasatan lanjut berhubung perkara ini akan dijalankan secara telus dan teliti tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, sekiranya wujud unsur tohmahan atau sebarang agenda yang berniat tidak baik untuk mencemarkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu laporan polis akan dibuat dan siasatan terhadap individu terbabit akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki dalam Facebook menggunakan nama Trinh Trinh mendakwa pihaknya tidak berpuas hati dengan Ketua Balai Polis Klang yang tamak dan telah memeras ugutnya bagi melindungi premis haram di daerah tersebut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *