Polis meminta orang awam untuk memberi maklumat bagi mengesan seorang ibu bersama tiga anaknya yang dilaporkan hilang sejak 9 Mei lalu.

Ketua Polis Marudi DSP Gabriel Risut berkata, bapa mentua wanita berkenaan telah membuat laporan polis pada 9 Mei bahawa menantunya, Suzie Grace Bunyau, 33, telah keluar bersama tiga anaknya berumur tiga, lapan dan 14 tahun untuk ke rumah nenek di Semuruh.

“Namun, apabila bapa mentuanya pergi ke Semuruh pada 12 Mei beliau diberitahu menantu yang berasal dari Rumah Ugil, Sungai Nakat Bakong, Marudi, bersama tiga anaknya, dua perempuan dan seorang lelaki telah pergi ke Julau menaiki bas,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin menurut laporan Bernama.

Gabriel berkata, lelaki itu kemudian cuba menghubungi saudara-mara menantunya di Julau, tetapi diberitahu keempat-empat beranak tersebut tiada di situ.

“Polis memohon sesiapa yang mempunyai maklumat dan mengetahui kedudukan sebenar mereka untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi 085-755221/222 atau Ketua Balai Polis Beluru Sarjan Saudi di 0128552527,” katanya sambil menambah polis telah mengklasifikasikan kes sebagai Laporan Orang Hilang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *