Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Polis Diarah Beri Perhatian Peningkatan Kes Jenayah Di Sarawak – TPM

Polis Diarah Beri Perhatian Peningkatan Kes Jenayah Di Sarawak – TPM

mh online

KUCHING, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan memberi tumpuan terhadap kes jenayah yang mencatat peningkatan di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta pengarah-pengarah setiap jabatan di Bukit Aman, juga diminta melihat aspek yang perlu ditingkatkan dari segi mengurangkan kes jenayah sehingga menyebabkan peningkatan itu.

“Beberapa kes memperlihatkan peningkatan seperti pemerkosaan ataupun rogol yang meningkat 13 peratus, dan kes samun tanpa senjata (11 peratus). Ini menjadi keprihatinan MCPF (Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia) untuk membantu polis mengurangkan kadar jenayah yang meningkat di Sarawak dan seluruh negara.

“Kami juga lihat ada beberapa kes yang meningkat iaitu kes curi motosikal meningkat kepada 38 peratus serta kes pecah rumah dan curi 18 peratus,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco MCPF di sini Ahad.

Turut hadir, Khalid dan Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Di sebalik peningkatan beberapa kes jenayah, Ahmad Zahid berkata hasil kerjasama Bukit Aman dan Polis Sarawak, indeks jenayah di negeri berkenaan menurun kepada 13 peratus.

“Kita juga dapati jenayah kekerasan turun 13 peratus dan jenayah harta benda juga turun 13 peratus,” katanya.

Beliau berharap kesedaran orang ramai akan turut membantu polis mengurangkan kadar jenayah, dan mereka harus membantu pasukan keselamatan itu untuk menjayakan usaha tersebut.

“Saya menyeru kepada badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan MCPF atau tidak, terutama NGO yang ditubuhkan untuk membantu polis dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah, agar terus ke hadapan membantu usaha-usaha murni ini.

“Jika kita letakkan harapan kepada polis dan agensi penguatkuasaan bagi melakukan tindakan, ia tidak akan memperlihatkan pencapaian yang begitu baik. Namun, saya amat positif usaha yang diperlihatkan ini…InsyaAllah akan dapat membantu pencapaian lebih baik (mencegah dan membanteras jenayah),” katanya.

Leave a Reply

Top