Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Polis Buru Lelaki Jual Kad Pertubuhan Kerabat

Polis Buru Lelaki Jual Kad Pertubuhan Kerabat

Polis memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penjualan kad menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata pihaknya telah mengenal pasti suspek berusia 66 tahun itu yang juga seorang peniaga, hasil laporan seorang mangsa pada pertengahan bulan ini.

Ab Rahman berkata suspek hanya menunjukkan kad pertubuhan yang dimilikinya kepada mangsa daripada kalangan orang awam dan jika ada yang berminat, mereka hanya perlu mengemukakan dua gambar bersaiz pasport.

“Suspek yang bergerak secara bersendirian kemudiannya akan menyerahkan sekeping kad lengkap dengan nombor pendaftaran dan cip kepada mangsa selepas tempoh tertentu.

“Bagaimanapun, suspek tidak meminta bayaran daripada mangsa dan bergantung kepada mangsa untuk memberi wang kepadanya sebagai imbuhan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan banjir di Sekolah MenengahKebangsaan Pak Badol di sini, Isnin.

Ab Rahman berkata suspek yang berpenampilan kemas bagi mengaburi matamangsanya, sering menggunakan nama anggota kerabat diraja Kelantan bagi memudahkan penipuannya.

Beliau berkata kad itu diminati mangsa atas alasan dapat memudahkan urusan dengan agensi kerajaan, malah turut digunakan bagi mengelak disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) jika menggunakan kereta bercermin gelap.

“Kita percaya setakat ini lebih 10 mangsa telah ditipu lelaki itu, namun gerakan memburu suspek agak sukar kerana lelaki berkenaan sering melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat selepas mengetahui ada laporan polis dibuat mangsa,” katanya.

Pada Ahad, Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi memberi amaran keras kepada semua pihak agar menghentikan segera tindakan menggunakan nama Sultan Muhammad V dan pertubuhan itu untuk kepentingan peribadi.

Yang Di-Pertuanya Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim berkata pemalsuan kad menggunakan nama dan lambang diraja dikesan sejak 2012 namun semakin berleluasa selepas pelantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Leave a Reply

Top