Share on Facebook

KAJANG, Polis berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah yang menjadikan aplikasi WeChat sebagai medium untuk mencari pelanggan dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor sejak 2 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata 12 warga tempatan termasuk empat penuntut kursus kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terkemuka di daerah itu ditahan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang.

“Pemeriksaan ujian air kencing ke atas kesemua suspek termasuk seorang wanita yang berusia antara 20 dan 26 tahun itu mendapati mereka positif dadah.

“Kesemua suspek dipercayai beberapa kali melakukan aktiviti mengedar ganja sejak setahun lepas di kawasan Semenyih dan Kajang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata polis merampas 4.8 kilogram ganja bernilai RM12,000 hasil serbuan di sekitar Kajang, Semenyih dan Sepang.

Katanya siasatan awal mendapati dadah itu dijual dengan harga antara RM50 hingga RM100 sepaket manakala sumber bekalan dipercayai diperoleh dari utara tanah air daripada seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata selain mempromosi penjualan menerusi WeChat, kumpulan itu dipercayai turut menyasarkan pelajar sebagai pelanggan susulan penahanan penuntut IPTS termasuk sepasang kekasih.

“Polis sedang mengenal pasti pembekal ganja kepada kumpulan ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *