Anda di sini!
Utama > Ekonomi > PNB Sasar Tarik Pelabur Muda

PNB Sasar Tarik Pelabur Muda

PUTRAJAYA, Seramai 1.5 juta atau 11.4 peratus daripada jumlah pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) membabitkan pelabur berusia enam bulan hingga 18 tahun dengan nilai pelaburan sebanyak RM6.746 bilion.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata jumlah itu adalah daripada 13.1 juta pemegang unit menerusi pelaburan dalam 10 produk unit amanah ASNB sehingga tempoh 31 Ogos lalu.

“Generasi berusia antara enam bulan hingga 18 tahun adalah antara sasaran PNB dalam program Didik Pelabur yang dianjurkan pada saban tahun.

“Sebagai institusi diberi mandat untuk mengurus dan mengukuhkan ekuiti Bumiputera di negara ini, kami mahu berperanan penting dalam usaha melahirkan generasi muda bijak mengurus wang,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Fiesta Labur PNB 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah wang tunai RM3,000 kepada johan Pertandingan Seni Kreatif Peringkat Kebangsaan iaitu peserta dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh, Melaka; naib johan SK Jelawat 2, Kelantan (RM2,000) dan ketiga kepada SK Zainab 1, Kelantan (RM1,000), manakala hadiah sagu hati RM800 masing-masing dimenangi SK Bayan Lepas 2, Pulau Pinang dan SK Putrajaya Presint 14 (1).

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, penganjuran fiesta berkenaan adalah pencapaian membanggakan dan menjadi penyuntik semangat kepada PNB dan ASNB untuk terus menganjurkan program sama pada masa depan.

“Saya yakin gabungan pelbagai program Didik Pelabur dan Fiesta Labur kali ini berjaya menyebarkan maklumat pelaburan kepada orang ramai terutama penduduk Putrajaya dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Fiesta Labur PNB 2017 yang berakhir hari ini menyediakan pelbagai program termasuk Santai Labur PNB’ menampilkan usahawan seperti Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida dan Datuk Seri Aliff Syukri.

Selain itu, penganjuran bengkel ‘Kuasai Kewangan Peribadi Anda’ diadakan membincangkan empat topik berkaitan persaraan, pembiayaan ASB, emas, hartanah dan harta pusaka.

Pada fiesta itu juga, PNB mengumpulkan semua program Didik Labur di bawah satu bumbung dengan menganjurkan Kuiz Pelaburan PNB untuk empat kategori iaitu badan beruniform, sekolah menengah, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi serta jamboree untuk Kelab Pelaburan Bijak PNB.

Leave a Reply

Top