Anda di sini!
Utama > Terkini > PLUS Keluar Cadangan Waktu Perjalanan Jumaat Ini

PLUS Keluar Cadangan Waktu Perjalanan Jumaat Ini

mh online

Plus Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi panduan untuk orang ramai merancang perjalanan bagi musim cuti sempena perayaan Deepavali mulai Jumaat ini bagi mengelak kesesakan di lebuh raya.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi berkata jadual TTA itu meliputi perjalanan antara Lembah Klang dan beberapa bandar besar di seluruh negara.

Bagi sambutan Deepavali pada 10 Nov ini, PLUS menjangka sebanyak 1.4 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada waktu puncak hujung minggu ini, katanya.

“Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding 1.3 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jadual TTA yang dikeluarkan PLUS pada cuti musim perayaan dan hari puncak berjaya membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

Mohammad Fuad menasihatkan pengguna lebuh raya mematuhi jadual itu bagi mengelak dari terperangkap dalam kesesakan di laluan utama, kawasan rehat dan plaza tol.

Mengikut jadual TTA, pengguna jalan raya dari ibu negara ke Kangar, Alor Setar, Johor Baharu dan Kota Tinggi disaran memulakan perjalanan bermula pukul 6 pagi hingga 8 pagi.

Mereka yang hendak ke Kepala Batas, Butterworth, Georgetown, Bayan Lepas, Batu Pahat, Segamat dan Muar disaran bergerak pada pukul 8 pagi hingga 11 pagi.

Pengguna jalan raya dari Lembah Klang menuju ke Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut, Tanjung Malim, Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban pula disaran memulakan perjalanan selepas pukul 6 petang.

Mereka ke Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Jasin dan Bandaraya Melaka dinasihatkan memulakan perjalanan antara 11 pagi dan 2 petang.

Pengguna jalan raya daripada Kangar, Alor Setar, Johor Baharu dan Kota Tinggi ke ibu negara dinasihatkan memulakan perjalanan pada pukul 6 pagi hingga 8 pagi.

Mereka dari Kepala Batas, Butterworth, Georgetown, Bayan Lepas, Ipoh, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Alor Gajah menuju ke ibu negara pula disaran memulakan perjalanan antara 10 pagi hingga 2 petang.

Bagi pengguna jalan raya daripada Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut, Tanjung Malim, Jasin, Bandaraya Melaka, Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban, PLUS meyarankan mereka pulang ke Lembah Klang pada pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat trafik terkini, boleh menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, laman Twitter PLUSTrafik, atau memuat turun aplikasi ‘PLUS Mobile’.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top