Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PKS Disaran Guna FTA Untuk Luaskan Pasaran

PKS Disaran Guna FTA Untuk Luaskan Pasaran

HONG KONG, Usahawan kecil dan sederhana (PKS) disaran mengambil peluang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Hong Kong untuk mengeksport produk mereka ke pasaran lebih meluas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perjanjian itu adalah satu permulaan ke arah jalinan hubungan perniagaan lebih baik untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan dari Malaysia bukan sahaja ke tanah besar China tetapi kawasan serantau dengan Hong Kong sebagai hos.

“Kita lihat sebanyak AS$50 bilion urus niaga dagangan antara kedua-dua pihak (HK dan Malaysia) telah memberi kelebihan kepada Malaysia untuk mengeksport produk dari Malaysia.

“Melalui Hong Kong, oleh kerana penduduknya mungkin menggunakan sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja selebihnya barangan dan perkhidmatan ini akan diedar ke negara serantau.

“Apabila FTA ditandatangani, banyak insentif akan diperoleh kedua belah pihak iaitu peniaga dan pelabur Hong Kong serta peniaga dan pedagang Malaysia,” dipetik sebagai berkata.

Terdahulu Ahmad Zahid tiba di hotel penginapannya di Wilayah Pentadbiran Khas di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Turut mengiringi beliau adalah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

Beliau akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (2017) ke-9 malam ini.

FTA ASEAN-Hong Kong ditandatangani di Manila, Filipina, semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi pelaburan langsung asing, FTA mampu menggamit lebih banyak pelabur Hong Kong ke Malaysia dengan insentif daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ahmad Zahid berkata, banyak kawasan pembangunan baharu boleh diteroka pelabur dan peniaga Hong Kong, misalnya Perak Selatan, termasuk Bagan Datok seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam pembentangan bajet 27 Oktober lalu.

“Jack Ma (Alibaba Group) antaranya menggunakan Malaysia sebagai hab untuk penghantaran dan pengedaran produk dari negara ASEAN ke pasaran dunia dan China.

“Ini adalah peluang terbaik bukan hanya untuk syarikat Malaysia sedia ada tetapi menggalakkan PKS melakukan usaha lebih untuk memperbanyakkan produk untuk disalurkan melalui DFTZ (Zon Perdagangan Bebas Digital) kerana kita tidak lagi bergantung kepada perniagaan konvensional,” katanya.

Leave a Reply

Top